ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD…
و لتكملوا العدة و لتكبروا الله على ما هداكم و لعلكم تشكرون
1. Takbir Raya adalah laungan suci mengagungkan Allah yang lahir dari lubuk hati seorang hamba bagi menandakan kerendahan diri insan yang kerdil di hadapan Penciptanya.
2. Hari ini adalah hari kemenangan kepada satu pertembungan abadi berligar pada paksi al Haq dan al Batil di mana nilai Ketaatan dan Pengkhianatan menjadi pertaruhan. Ketahuilah laungan takbir raya adalah laungan menangnya Ketaatan dan hancurnya Pengkhianatan.
3. Ketaqwaan yang kita raih sepanjang Ramadhan perlu diusung sebagai bekalan untuk menempuh bulan-bulan berbaki di hadapan. Tanpa bekalan manusia kegersangan dan boleh mati kehausan. و تزودوا فإن خير الزاد التقوى
“Berbekal- bekalah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bekalan TAQWA”
4. Dalam meraikan kemenangan janganlah pula kita lalai bahawa kejahatan dan pengkhianatan tidak pernah alpa untuk merentap kemenangan kita. Nabi s.a.w mengingatkan kita akan musuh yang tidak pernah berhenti mencuba-cuba kita antaranya ialah
“hawa nafsu yang cuba mengheretnya” . Berhati-hatilah saudara ku.
5. Dunia berputar atas kebencian yang menginginkan penguasaan mutlak walaupun terpaksa menginjak-injak kemanusiaan. Demikianlah hodohnya regim Israel mencemari al Aqsa ketika umat Islam Palestine diambang sambutan kemenangan. Seluruh dunia sepatutnya mengutuk kebiadaban Israel kerana pencemaran al Aqsa adalah lambang permusuhan dan kebencian sesama insan.
6. Bawalah semangat kemenangan Syawal menentang pengkianatan dan janganlah kita menjadi pembela kepada para pengkhianat! Bawalah Takbir kita dan Tahmid kita ke alam perjuangan membuat Islah, menegakkan Keadilan serta menentang kejahatan dan kezaliman.
إن الله يأمر بالعدل والإحسان و ايتأ ذى القربى و ينهى عن الفحشأ والمنكر و البغي يعظكم لعلكم تذكرون
7. Walaupun Syawal kali ini adalah Syawal kedua kita berada dalam suasana PKP, janganlah semangat kemenangan pudar dari hati kita untuk terus melawan covid 19 dengan bersungguh-sungguh. Insyaallah negara kita pasti akan menang begitu juga seluruh dunia untuk kita membina masadepan yang lebih lestari dan keamanan yang kekal.
ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD…
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Ahli Parlimen Parit Buntar