SPRM SAHKAN SIASAT ANAK TUN MAHATHIR, DIARAH ISYTIHAR KEKAYAAN DALAM TEMPOH 30 HARI

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan perintah notis kepada ahli perniagaan Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari, dalam siasatan berhubung maklumat dalam Kertas Panama.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata notis itu diserahkan Mirzan – yang merupakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad – semalam ketika dia hadir di ibu pejabat suruhanjaya antirasuah berkenaan di Putrajaya.

“SPRM mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.

Jelas SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).



Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM berkata pihak mereka memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” kata suruhanjaya itu.

Kertas Panama merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016. Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

Kertas Pandora dan Kertas Panama adalah dua pendedahan berasingan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dengan kerjasama rakan kongsi di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Kertas Pandora, yang diterbitkan pada 2019, melibatkan kebocoran 11.9 juta dokumen daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang mengkhusus dalam penubuhan syarikat cengkerang (shell) di kawasan perlindungan cukai.

Kertas Panama yang didedahkan pada tahun 201 melibatkan kebocoran sebahagian besar rekod daripada penyedia perkhidmatan firma guaman Panama Mossack Fonseca.

Firma itu menyediakan perkhidmatan untuk penubuhan entiti di kawasan perlindungan cukai di mana undang-undang privasi sangat ketat sehingga akaun yang ditubuhkan hampir tidak dapat dikesan.

Dalam Kertas Panama, Mirzan telah disenaraikan sebagai telah mendaftarkan firma British Virgin Islands – Sergio International Ltd – pada 2002 tetapi firma itu dianggap tidak aktif pada 2006 dan dihentikan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi wakil Mirzan menafikan penglibatannya dalam Sergio International Ltd atau hubungan firma itu dengan Crescent Group of Companies.

Mirzan pada masa itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Capital, sebuah syarikat induk dan penasihat kewangan.

Pada 2013, dalam satu lagi siasatan bersama ICIJ, Malaysiakini melaporkan bahawa Mirzan adalah antara kira-kira 1,500 rakyat Malaysia yang mempunyai firma luar pesisir yang berahsia, didedahkan dalam dokumen yang dibocorkan kepada konsortium wartawan pada masa itu.

Dalam kebocoran itu – digelar ‘Secrecy For Sale’ – Mirzan telah disorot memiliki Crescent Energy Ltd, Utara Capital Ltd dan Al Saad Investments Pte Ltd, semuanya berpangkalan di Labuan.

Bidang kuasa luar pesisir seperti BVI dan Panama sering sering digunakan oleh individu bernilai tinggi untuk menyimpan aset mereka.

Walaupun memiliki syarikat luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, terdapat tekanan awam untuk lebih ketelusan syarikat dalam amanah yang ditubuhkan dalam bidang kuasa sedemikian, di sana untuk memerangi pengelakan cukai dan pengubahan wang haram.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/693599

 

No comments: