Akta Anti Lompat Parti boleh dipinda atasi kelompangan - Wan Junaidi


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Yang Dipertua Dewan Negara berharap pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Akta Anti Lompat Parti dilakukan semula sebagai langkah mengatasi kelompangan pada undang-undang tersebut.



Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, kiri) berkata, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik negara pada masa akan datang ekoran perbuatan Ahli Parlimen Bebas memindahkan sokongan.



Kata beliau pihaknya menyedari daripada awal rang undang-undang pindaan tersebut (anti lompat parti) dibawa ke Dewan Rakyat, ia sudah mempunyai kelemahan dan kurang berkesan menangani perbuatan lompat parti atau pindah sokongan.



"Rang undang-undang diluluskan di Parlimen itu adalah satu kompromi untuk mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat pada 2022 dan dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.



"Ada dua tiga perkara yang kita sepatutnya masuk tidak dimasukkan kerana bantahan beberapa pihak yang ada dalam kerajaan (ketika itu PN) sebagai kompromi," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Tokoh di pejabat Majlis Profesor Negara (MPN), Kajang semalam.



Hadir sama Presiden MPN Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Ros.



Akta Anti Lompat Parti diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 melalui pindaan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.



Semasa undi belah bahagi yang diumumkan, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.



Pembentangan RUU itu adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).



Susulan itu, pindaan sama dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) berkata draf asal yang dikemukakan pihaknya memasukkan peruntukan seseorang Ahli Parlimen yang bercanggah pendapat dengan parti dan tidak akur arahan ketua whipnya digugurkan keanggotaan dewan.



"Maka draf asal tetapi dua ciri itu digugurkan dan ini menjadi persoalan apabila Ahli Parlimen (pembangkang) sokong kerajaan tidak hilang kedudukan sebab tidak ada halangan dari sudut undang-undang.



"Kalau draf asal digunakan perkara ini tidak terjadi tetapi nasi sudah menjadi bubur," katanya yang menjelaskan draf asal sudah mengambil kira pengalaman masalah sedemikian di United Kingdom, India dan New Zealand.



Wan Junaidi berkata, sekarang terpulang kepada kerajaan sama ada mahu melakukan pindaan atau tidak.



Katanya walaupun kelompangan akta tersebut boleh diatasi melalui pindaan dalam perlembagaan parti masing-masing namun perkara itu boleh dicabar di mahkamah.



"Pindaan (undang undang) lebih elok untuk atasi kerana lebih terperinci dan datang dari undang-undang dan bukan digariskan dari satu tempat lain," ujarnya.



Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata pihak yang menentang draf asal yang pada ketika itu melibatkan Bersatu dan Pas, yang perlu akur arahan whip dan keputusan parti, akhirnya menerima kesan apabila ia terkena kepada diri mereka sendiri.

 

No comments: