N Sembilan usul had jawatan MB 2 penggal


Menteri Besar Aminuddin Harun berkata jawatan itu terbuka kepada mana-mana parti seperti yang akan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri kelak. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan membawa usul mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan menteri besar dihadkan kepada dua penggal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, perkara itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan dipersetujui pada mesyuarat kerajaan negeri.

“Jadi kami kena akur…perkara ini telah dipersetujui dalam mesyuarat EXCO dan seterusnya sidang DUN, kami akan pastikan ia menjadi sebahagian Rang Undang-Undang (RUU) atau undang-undang enakmen bagi kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami akan minta pegawai undang-undang menyiapkan usul tersebut sebelum diserahkan kepada jawatankuasa perlembagaan DUN untuk diteliti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri.

Beliau berkata, jawatan itu terbuka kepada mana-mana parti seperti yang akan diluluskan dalam sidang DUN kelak.

PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14, memaklumkan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri akan dihadkan kepada dua penggal jika PH mentadbir negara bertujuan memastikan ketelusan pentadbiran.



No comments: