Kerajaan PN lemah dan tidak stabil, kata Noh Omar


Hilmi Malik
Kerajaan PN lemah dan tidak stabil, kata Noh Omar
Kerajaan Perikatan Nasional sejak dari awal penubuhannya sudah kelihatan tidak stabil apabila melihat kepada kedudukan majoritinya menurut Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, mengakui kerajaan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) lemah dan tidak stabil.
Menurut Noh Omar, perkara itu disedari sejak awal penubuhan PN apabila melihat kepada kedudukan majoritinya.
“Lebih tiga majoriti ketika ini, maksudnya kalau ada undian akan datang, sekiranya empat individu tidak hadir maka kerajaan ini tidak mendapat sokongan.
“Kalau kita lihat di dunia ini kalau tidak silap kerajaan PN inilah yang merupakan kerajaan mempunyai majoriti paling tipis sekali di mana hanya lebih tiga undi sahaja,” katanya ketika mengulas mengenai Belanjawan 2021 di Parlimen pada Selasa.
Ditanya berhubung komitmen Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap sokongan belanjawan, katanya, perkara itu terpulang kepada hak individu dan tidak terikat kepada parti.
Ini susulan tindakan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berketetapan untuk tidak hadir dan tidak menyokong Belanjawan 2021.
“Ini adalah hak individu, hak ahli parlimen kerana kerajaan ini (Perikatan Nasional) ditubuhkan antara persetujuan ahli parlimen.
“Keadaan itu juga tidak membolehkan dia (Ku Li) dikenakan tindakan disiplin di bawah parti seperti yang dijelaskan. Ia bukan keputusan mengikut parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Noh berpendirian bahawa, Pilihan Raya Umum (PRU15) wajar diadakan secepat mungkin bagi memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sebaik sahaja keadaan COVID-19 reda.

No comments: