Kerajaan tidak stabil, rakyat haru biru


muhaimin sulam | Suara Pakatan Daily


Kerajaan tidak stabil, rakyat haru biru

Dr Muhaimin Sulam

Saya bukan percaya bab nombor-nombor. Namun nombor juga ada nilai tertentu dalam kehidupan kita. Dalam persaingan politik Malaysia, penentuan nombor di kalangan 222 wakil rakyat (sekarang jadi 220 selepas dua wakil rakyat meninggal dunia) adalah sangat signifikan untuk diperhalusi.

Dalam tradisi Yoga,108 adalah angka suci. Angka ini
juga menghubungkan matahari, bulan, dan bumi: Jarak rata-rata matahari dan bulan ke bumi adalah 108 kali diameternya masing-masing. Dari angka tersebut, mereka percaya wujudnya rahsia zahir batin yang menjadi kekuatan. Nak tahu lanjut, boleh ikuti syarahan Sadhguru.

Setelah bacaan ketiga Belanjawan Negara berlangsung di Dewan Rakyat, PH perlu akur bahawa itulah angka terbaik yang mampu dicapai. Angka itu tidak dapat melangkaui angka yang diperolehi PN yang dipimpin Muhyiddin Yasin.

Sebutlah Muhyiddin Yasin adalah Perdana Menteri kepada kerajaan yang paling rapuh sekali di dunia, hakikatnya Muhyiddin Yasin adalah Perdana Menteri Malaysia.

SD, habuan jawatan dan sidang media atau apa-apa juga perkakas untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yasin masih tidak kesampaian. Namun di dalam politik, serba kemungkinan boleh berlaku. Jangan buang waktu dan tenaga kepada perkara yang tidak perlu. Kukuhkan pencapaian 108 itu dalam menghadapi masa hadapan. Jangan banyak cabangnya.

Kerajaan yang tidak stabil seperti yang ada di negara kita, bukanlah satu keadaan yang baik untuk kemajuan negara. Siang malam berkira pasal jatuh bangun sebuah kerajaan dan pemimpin. Ia mungkin baik sekiranya masyarakat sivil terbentuk kuat. Masalahnya, masyarakat kita masih lagi masyarakat negara membangun.

Masyarakat negara membangun berhadapan sekurang-kurangnya tiga masalah utama. Pertama mereka mundur dalam aspek kehidupan berpolitik, ekonomi dan sosial. Kedua dan ketiga, kurangnya kelompok intelektual dan kelompok ini gagal melahirkan gagasan idea yang konstruktif dalam membangunkan masyarakat. Hal ini banyak dibahas oleh Prof Dr. Syed Hussein al Atas dalam karya-karyanya. Bacalah tulisan almarhum. Beliau sepupu dengan Pak Ungku yang baru meninggal dunia tadi. (al fatihah)

Oleh itu, segala tindakan ahli masyarakat cerdik pandai, ulama, politikusnya yang bebal dan jadong (jahil + bodoh + sombong) membawa masyarakat ke lubuk kemunduran yang berterusan. Episod politik muktahir ini sangat mempamerkan kedunguan ahli politik yang menunggang perundangan, agama, budaya demi tembolok kuasa.

Fiqh patah balik, adat meminta maaf, etika istana, budget adalah contoh-contoh bebalisme dalam masyarakat membangun.