Masa untuk lebih ramai pemimpin muda

 


Oleh B. Suffian

Golongan muda adalah pewaris negara. Mereka merupakan golongan yang bakal berdepan dengan cabaran politik, ekonomi dan sosial pada masa depan. 

Sebab itu, golongan muda perlu diberi peluang yang luas untuk menyerlahkan potensi masing-masing. Mereka perlu diberikan laluan untuk mencorak masa depan Malaysia. Mereka juga perlu diperlengkapkan dengan nilai-nilai kepimpinan untuk menempuh cabaran-cabaran mendatang.

Dengan kepesatan teknologi maklumat dinikmati hari ini, golongan muda secara berterusan terdedah dengan pelbagai pengetahuan serta maklumat terkini menerusi saluran-saluran media terutama televisyen, akhbar dan media sosial.

Sehubungan itu, penglibatan golongan ini dalam usaha-usaha membina negara adalah penting dan perlu diberi perhatian sebaik-baiknya.

Di luar negara, kita telah menyaksikan ramai golongan muda menggalas jawatan-jawatan tertinggi negara. Antaranya, Jacinda Ardern yang menjadi Perdana Menteri New Zealand pada usia 37 tahun dan Perdana Menteri Finland, Sanna Marin yang kini berumur 35 tahun.

Maka tepatlah seruan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa kini sudah tiba masanya untuk meletakkan lebih ramai anak muda dalam kepimpinan pembangkang.

Sepertimana diperkatakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, sudah tiba masanya golongan millennial diperkasakan dengan lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa.

Menurutnya, ini memandangkan 54 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70 peratus rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun.

Golongan millenial adalah mereka yang dilahirkan di antara awal 1980-an dan pertengahan 1990-an hingga awal 2000.

Apa yang menarik, Kit Siang memberitahu, Kerajaan Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri yang berusia 93 tahun mempunyai purata umur Kabinet 55.7 tahun, lebih muda berbanding Kabinet 32 orang Muhyiddin Yassin yang mencatatkan usia purata 57.5 tahun.

Kata Kit Siang, Kabinet Muhyiddin tidak mempunyai suara untuk golongan millennial di Malaysia, tidak ada seorang pun Menteri yang berusia di bawah 40 tahun.

Terdapat empat orang Menteri dalam Kabinet Muhyiddin yang berumur di bawah 50 tahun, masing-masing berusia 43, 44, 46 dan 47 tahun — suatu perbandingan yang buruk dengan Kabinet Pakatan Harapan, yang bermula dengan menteri yang berusia 25 tahun, 35 tahun dan lima orang Menteri yang berumur di bawah 50 tahun, katanya.

Oleh itu, momentum usaha mengangkat orang muda bukan sahaja wajar diteruskan malah perlu diperkasakan lagi.

Langkah ini dapat menjamin suara golongan muda ini terus diangkat tinggi sekali gus membawa impak kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Dalam masa sama, golongan muda perlu membuang persepsi bahawa politik itu kotor. Jawapan kepada politik toksik bukanlah untuk tidak berpolitik. Jawapannya adalah politik yang matang.

Saya juga setuju jika anak muda terus terlibat dalam diskusi tentang polisi yang dapat memberi manfaat kepada rakyat pelbagai latar belakang di negara ini.

Bagi golongan muda yang ingin menceburi politik, jangan berputus asa. Bersama kita membina negara ini untuk masa depan yang lebih baik.