Piala FIFA ASEAN 2026: Kekalkan Momentum, Bawa Pulang Kemenangan – PM Anwar

 

IMG_7091

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu skuad Harimau Malaya membawa pulang kemenangan selepas membenam Singapura 6-0 pada 1 Oktober 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum kemenangan ketika menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026, Isnin ini.

Menerusi catatan di laman media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, semangat juang dan kesungguhan skuad kebangsaan sepanjang kempen tetap membanggakan seluruh rakyat Malaysia meskipun terlepas ke final atas perbezaan jumlah jaringan.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya atas kemenangan bergaya membelasah Singapura 6-0 pada aksi malam tadi.

“Perjuangan belum selesai. Fokus kini kepada penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Vietnam. Kekalkan momentum, berjuang hingga wisel terakhir dan bawa pulang kemenangan untuk Malaysia!” katanya menerusi hantaran itu.

“Walaupun terlepas ke final, semangat juang dan kesungguhan Harimau Malaya sepanjang kempen tetap membanggakan seluruh rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan pasukan negara mampu bersaing dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia malam tadi, Malaysia membenam Singapura 6-0, namun keputusan itu belum cukup untuk membawa skuad negara ke final setelah Indonesia membelasah Bangladesh 9-2 dalam keputusan tambahan masa yang dipertikaikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).




No comments: