Chean Chung Letak Jawatan: ‘Dia Sudah Berhenti Lama, Baru Tahu?’ – PM Anwar

 

IMG_7089

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau pelan pembinaan kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2026. Foto Astro Awani

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan jawatannya dianggap sesuai kerana sudah lama tidak mengikuti program parti termasuklah menghadiri Kongres Nasional KEADILAN 2026, baru-baru ini.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, beliau sendiri tiada masalah dengan keputusan Chean Chung itu jika beliau sudah tidak lagi berminat dengan parti sambil mengucapkan terima kasih atas sumbangannya selama ini.

“Dia sudah berhenti lama, baru tahu? Dia lama tak hadir mesyuarat parti, kongres pun tak hadir, jadi sesuailah kalau dia tak minat (dengan KEADILAN) tiada masalah. Dia pergi dengan baik, terima kasih atas sumbangan.

Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada 2 Oktober 2026.

“Tetapi sudah lebih setahun dia tak pernah campur soal urusan parti, mesyuarat-mesyuarat parti pun tak hadir, jadi tak apalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, di sini, hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas keputusan bekas ADUN Semambu itu yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parlimen berkuat kuasa hari ini, tanpa syarat.

Chean Chung yang memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Pakatan Harapan (PH) mewakili KEADILAN, mengumumkan keputusan itu pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Ini menjadikan beliau ahli parlimen keempat berbuat demikian setelah Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang) juga meletak jawatan susulan pelancaran parti ‘kancil’ pertengahan Mei lalu.

Difahamkan beberapa lagi ahli parlimen daripada ‘kem Rafizi’ dijangka akan mengumumkan peletakan jawatan sekiranya ‘kehendak’ mereka tidak dipenuhi.




No comments: