Anak Zahid ditegur selepas minta Tun M diberi ruang

 





Gesaan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid supaya pihak media memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkabung selepas kehilangan isterinya mengundang reaksi berbeza dalam kalangan pengguna media sosial.

Nurulhidayah, yang merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerusi Threads mempersoalkan keperluan bekas Perdana Menteri itu terus menjadi tumpuan ketika sedang melalui saat kehilangan orang tersayang.

“Can’t we just let him grieve in his own way?” tulisnya sebelum menambah bahawa pada ketika itu Tun M bukan seorang bekas Perdana Menteri atau tokoh politik untuk dijadikan bahan berita.

Dia menegaskan Tun M adalah seorang suami yang baru kehilangan sebahagian besar hidupnya.

Beliau turut merayu supaya ruang diberikan kepada negarawan berusia 101 tahun itu ketika menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.

Semalam, tiga hari selepas pemergian Allahyarhamah, Tun M menziarahi pusara isterinya.

Bagaimanapun, pandangan Nurulhidayah itu tidak dipersetujui sebahagian pengguna Threads yang berpendapat petugas media sekadar menjalankan tanggungjawab mereka.

Seorang pengguna, Fazilizainul, berkata media yang berada di lokasi hanya mengambil gambar dari jarak tertentu dan tidak dilihat menghampiri Dr Mahathir secara keterlaluan.

“Media buat kerja, tadi media hanya snap gambar. Hormat tinggi pada Tun, tak ada yang dekat dengan Tun pun. Inilah situasi media bekerja,” tulisnya.

Pengguna lain, chingwenlim, pula berkata, kehadiran wartawan ketika melibatkan tokoh awam merupakan sesuatu yang boleh dijangka dan akses media boleh dihadkan sekiranya keluarga benar-benar mahukan suasana tertutup.

Seorang lagi pengguna turut bertanya sama ada Nurulhidayah memahami tugas media ketika sesuatu peristiwa mempunyai nilai berita.

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah selepas kira-kira tujuh dekad hidup bersama Dr Mahathir mendapat perhatian meluas.

Pada hari pengebumian, bekas Perdana Menteri itu dilihat sebak ketika mengiringi jenazah isterinya ke tempat persemadian.






No comments: