Ketegasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam memastikan keselamatan pintu masuk negara terus terpelihara mendapat sokongan sebahagian netizen susulan kontroversi video tular di KLIA Terminal 1.
Di sebalik kritikan terhadap cara beliau menegur seorang individu dalam rakaman berkenaan, terdapat pengguna media sosial yang mempertahankan Shuhaily dan menganggap ketegasan diperlukan dalam pasukan beruniform, khususnya apabila membabitkan keselamatan negara.
“Biasa yang buat kerja betul dan tegas ni memang selalu banyak musuh. Orang lain tak senang duduk. We are with you Datuk Seri,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen pula mengingatkan bahawa masyarakat hanya melihat rakaman yang tular tanpa mengetahui keseluruhan keadaan yang berlaku ketika kejadian.
“Kita tak berada di situasi tersebut memang senang melontarkan komen.
“Ini melibatkan hal keselamatan negara… kita nampak video tular je tapi kita tak tahu pokok pangkal apa berlaku,” katanya.
Malah, beberapa pengguna turut berpandangan anggota badan beruniform perlu mempunyai ketahanan mental yang tinggi kerana tugas mereka berpotensi mendedahkan mereka kepada tekanan dan situasi lebih mencabar.
Selayang
Semalam, Shuhaily pada sidang media menegaskan beliau tidak mahu KLIA dibiarkan berdepan masalah keselamatan sehingga menyerupai keadaan di Selayang, Selangor.
“Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang. Saya tidak mahu membiarkannya jadi macam itu,” katanya sambil menegaskan AKPS ditubuhkan kerajaan dengan objektif jelas untuk memperkukuh kawalan dan keselamatan pintu masuk negara.
Menurut Shuhaily, insiden yang mencetuskan kontroversi itu berlaku ketika beliau bersama pegawai AKPS dan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) menjalankan penguatkuasaan terhad susulan aduan berhubung kegiatan sindiket ‘ulat’ warga asing di KLIA.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilakukan selepas kegiatan tersebut semakin ketara, manakala pihak berkuasa turut berdepan isu cubaan penyeludupan barangan terlarang melalui pintu masuk berkenaan.
Shuhaily pada masa sama menghargai sokongan orang ramai yang mahu beliau meneruskan usaha memperbaiki tahap keselamatan di pintu masuk negara, sambil menyifatkan sokongan itu sebagai antara semangat untuk beliau terus melaksanakan tanggungjawabnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak akauntabiliti berhubung insiden tersebut dan menyerahkan kepada kerajaan serta pihak berkuasa untuk menentukan tindakan lanjut, selain menyatakan kesediaan menerima apa juga keputusan yang dibuat.
AKPS turut membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman CCTV berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap sumber serta motif penyebarannya.
Menurut agensi itu, klip yang tular bukan rakaman daripada sumber asal CCTV tetapi dirakam semula menggunakan peranti lain.
No comments:
Post a Comment