Oleh: Abdullah Zaid
Seramai 200 peserta Usahawan Halia Madani mendapat manfaat
peralatan dan tapak kebun di bawah Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut
Malaysia (PKKMM), baru-baru ini.
Presiden pertubuhan itu, Raymond Ahuar berkata, program tersebut
adalah kesinambungan Program Paguguyuan XIII selain turut dibantu oleh Institut
Pendidikan Guru (IPG), Sabah.
Selain itu, kata Raymond, pihaknya merakamkan penghargaan kepada
syarikat swasta dan juga Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang membantu
mengumpulkan dana sejumlah RM1 juta sebagai modal mengusahakan ladang tersebut.
"Selain itu kami berharap pihak Tekun Nasional dapat
merealisasikan hasratnya membantu Usahawan Halia Madani Pedalaman Sabah secepat
mungkin sesuai dengan janji Tekun Nasional semasa program Paguguyuan tahun
lalu.
"Semoga program ini dapat membantu meningkatkan ekonomi
masyarakat di pedalaman," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Peto
Galim turut menghargai usaha yang digerakkan PKKMM dalam membantu masyarakat
pedalaman Sabah menoktahkan kemiskinan tegar.
Beliau yang juga ADUN Inanam bersetuju untuk membantu para
usahawan itu dengan mengarahkan Pegawai Jabatan Pertanian Daerah memberi
laporan setiap bulan kepada pihaknya bagi urusan penambahbaikkan program.