200 peserta tanaman halia di Sabah dapat tapak, peralatan


 

Oleh: Abdullah Zaid



Seramai 200 peserta Usahawan Halia Madani mendapat manfaat peralatan dan tapak kebun di bawah Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), baru-baru ini.



Presiden pertubuhan itu, Raymond Ahuar berkata, program tersebut adalah kesinambungan Program Paguguyuan XIII selain turut dibantu oleh Institut Pendidikan Guru (IPG), Sabah.



Selain itu, kata Raymond, pihaknya merakamkan penghargaan kepada syarikat swasta dan juga Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang membantu mengumpulkan dana sejumlah RM1 juta sebagai modal mengusahakan ladang tersebut.



"Selain itu kami berharap pihak Tekun Nasional dapat merealisasikan hasratnya membantu Usahawan Halia Madani Pedalaman Sabah secepat mungkin sesuai dengan janji Tekun Nasional semasa program Paguguyuan tahun lalu.



"Semoga program ini dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat di pedalaman," katanya dalam satu kenyataan.



Selain itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Peto Galim turut menghargai usaha yang digerakkan PKKMM dalam membantu masyarakat pedalaman Sabah menoktahkan kemiskinan tegar.



Beliau yang juga ADUN Inanam bersetuju untuk membantu para usahawan itu dengan mengarahkan Pegawai Jabatan Pertanian Daerah memberi laporan setiap bulan kepada pihaknya bagi urusan penambahbaikkan program.