LELAKI ISRAEL, PASANGAN SUAMI ISTERI BERDEPAN HUKUMAN MATI

 

Lelaki Israel dikenali sebagai Shalom Avitan dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Sebelum ini ketika Shalom ditangkap pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis. Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat, iaitu pemilikan senjata api.

“Begitu juga dengan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu. Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1971,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, boleh dihukum mati.

“Pada masa ini, kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga mereka.

“Ketika ini, kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan.

“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini,” katanya.

Beliau berkata, sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1230779/lelaki-israel-pasangan-suami-isteri-berdepan-hukuman-mati-jika-sabit


No comments: