Lelaki Israel dikenali sebagai Shalom Avitan
dan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata
kepadanya, bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain,
berkata ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7
Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Sebelum ini ketika Shalom ditangkap pada 27
Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai
warga Israel memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis.
Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat, iaitu pemilikan
senjata api.
“Begitu juga dengan pasangan suami isteri
berusia 42 dan 40 tahun itu. Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata
Api 1971,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Razarudin berkata, mana-mana individu yang
didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)
1971, boleh dihukum mati.
“Pada masa ini, kita masih menjalankan
siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga mereka.
“Ketika ini, kesemua mereka masih ditahan
reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar
pemilikan senjata api berkenaan.
“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7
April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan
berakhir pada 5 April ini,” katanya.
Beliau berkata, sebarang proses susulan untuk
sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk
melengkapkan siasatan.