Tamadun Madani: Ketua Jabatan perlu wujudkan pemikiran berteras nilai




 Pembinaan tamadun Malaysia Madani memerlukan perkhidmatan awam terutama pegawai tinggi kerajaan mempunyai pola pemikiran yang jelas dan berasaskan nilai.


Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan November Tahun 2023, pagi tadi.


Katanya, pertentangan dalam negara mengenai politik terlalu dalam dan pentadbiran awam perlu berada pada tahap mempunyai nilai terbaik untuk dicontohi sektor swasta dan rakyat biasa.


"Saya tekankan ini kadang kadang beberapa isu, pertelingkahan kita terlalu tajam. Tunggak dan asas Madani ini adalah soal nilai dan akhlak. Ia tidak mudah.


"Saya harap Ketua Jabatan dan Ketua Pengarah selain kerja biasa, mukadimah itu harus ada sedikit penekanan terhadap beberapa perkara asas kerana penjawat awam ini punyai satu tugas yang lebih daripada profesional lain di luar. Dia mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi daripada sekadar tugas biasa," katanya.


Sehubungan itu, PM menegaskan bahawa pembinaan negara Madani terikat erat dengan keyakinan yang mengutamakan soal nilai dan akhlak mulia.


Tanpa hal itu, katanya, pentafsiran sendiri atau mengikut kelompok masing masing akan pergi ke lembah kejumudan dan kekaburan hala tuju.


"Dalam negara Madani teras tidak boleh lari daripada keyakinan dan kepercayaan yang menetapkan soal nilai dan akhlak.


"Kalau kita tidak mendalami, menyerahkan kepada beberapa kalangan dan membuat menafsiran ikut fahaman mereka, maka sama ada (tafsiran ikut) parti atau kefahaman masing masing.


"(Dalam hal ini) pernah Islam menjadi teras kepada sosialisme di dunia Arab. Ada yang terasnya Islam menjadi tunggangan kepada yang berkiblat sepenuhnya ke Barat. Macam beberapa tokoh ilmuan Islam Mesir.


"Sebab dalam kebangkitan kesedaran dan kebangsaan Mesir (perjuangan kemerdekaan) ada pertelagahan besar (ulama) bagaimana harus bermula untuk berjuang memerdekakan, identiti dan jatidiri di Mesir," katanya.


Oleh itu, katanya, sekiranya Islam difahami secara mendalam maka tidak akan timbul isu identiti atau jatidiri malah pertikaian antara kaum dan agama yang berbenturan sebagaimana tercetus di negara ini juga akan berakhir.


"Malaysia ini dan budayanya, dan usaha membina tamadun tidak lari daripada jatidiri semangat yang boleh diangkat berdasarkan keyakinan kita, yang berteraskan kepada nilai.


"Jadi kalau Islam itu difahami secara mendalam maka tidak timbul permusuhan antara kaum, antara agama. Yang akan timbul ialah tentang kesedaran, toleransi dan hormat menghormati," katanya lagi.



No comments: