APAKAH UMAT ISLAM DAN UMAT ARAB MENUNGGU RAKYAT EROPAH MEMBEBASKAN PALESTIN DARIPADA PENINDASAN ZIONIS ISRAEL?

 



Setiap kali berlaku kekejaman Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang memangsakan penduduk Muslim dan Kristian, negara-negara Arab dan Islam akan mengadakan protes besar-besaran. Itulah tindakan kebiasaan yang dilakukan sepanjang 75 tahun kewujudan negara haram Israel dan ianya tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik. Namun yang anehnya tidak ada usaha yang serius dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negara Arab dan negara Islam di rantau tersebut untuk bertindak menghentikan kezaliman Israel. 


Turki yang menjalinkan kerjasama dengan Israel sejak tahun 1950 sehingga ke hari ini telah membuat berpuluh billion nilai dagangan di antara kedua-dua negara. Latihan ketenteraan bersama, pertukaran duta dan lawatan, serta kerjasama dalam sektor pelancongan giat dijalankan. Hal seumpama ini boleh ditamatkan segera sebagai tindakan politik yang tidak melibatkan operasi ketenteraan. Bahkan semakin zalim dan ganasnya Israel menyerang serta membunuh rakyat Palestin, semakin banyak negara-negara Arab yang dahulunya bermusuh dengan Israel, kini mula menjalinkan hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan Israel seperti UAE, Bahrain, Sudan dan Morocco serta Saudi yang sedang berunding untuk menormalisasikan hubungan. Walaupun tidak sampai mengirimkan senjata kepada kepada penduduk Palestin untuk mempertahankan diri, setidak-tidaknya mereka boleh mengambil tindakan politik dengan memutuskan hubungan diplomatik, menghentikan kerjasama ekonomi dan menutup ruang udara negara-negara tersebut kepada Israel.


Di Tengah negara-negara umat Islam kekal bekerjasama dengan Israel, berlaku perkembangan yang menarik di Eropah apabila beberapa Kerajaan dan masyarakat Eropah bangkit menentang kekejaman Israel. Contohnya Republik Ireland yang bukan sahaja lantang dalam negara mereka, tetapi juga bersuara keras dalam Parlimen Kesatuan Eropah mengutuk kekejaman dan tindakan berat sebelah segelintir kuasa Barat.  Protes besar-besaran telah berlaku di New York, Washington DC, London, Dublin, Paris dan Berlin melibatkan demonstran pelbagai agama dan bangsa menjadi satu gelombang baru yang mengecam Zionis. Ia adalah satu perkembangan baru yang menggerunkan pemimpin-pemimpin barat yang hendak bertindak menyokong kezaliman Zionis Israel. 


Adakah bumi Palestin akan dibebaskan oleh masyarakat di Eropah berbanding sebahagian negara-negara Islam yang bersekongkol dengan Israel dan menguatkan ekonomi negara tersebut. Kekayaan yang Allah kurniakan berupa minyak yang begitu banyak di rantau teluk tidak digunakan untuk membantu membebaskan Palestin. Sebaliknya puluhan billion digunakan untuk membiayai perang untuk menjatuhkan Saddam Hussin di Iraq, menaja gerakan militan Al Qaeda dan ISIS untuk membuat kekacauan di Afghanistan, Iraq dan Syria serta membiayai operasi ketenteraan yang membunuh puluhan ribu rakyat Yaman. 


Dalam masa yang sama, negara-negara kiri seperti Colombia, Bolivia, Chile, Cuba, Korea Utara, Russia, China dan Vietnam lebih keras mengecam Israel dan sebahagiannya memutuskan hubungan dengan negara tersebut. Persoalannya sampai bila umat Islam akan kekal menjadi penonton yang memprotes Israel dan mengeluarkan derma untuk membangunkan Palestin selepas negara tersebut hancur dibantai Israel. Tetapi negara-negara mereka kekal menjalinkan hubungan politik dan ekonomi yang menguatkan Israel, kemudian Gaza diserang lagi dan kita menderma lagi untuk membangunkannya. 


Mohamad bin Sabu

Presiden

Parti Amanah Negara



No comments: