Vietnam rakan paling akrab Malaysia - Anwar


 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia yang paling akrab sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara lima dekad lalu.


Jelasnya, kedua-dua negara menjalinkan hubungan amat baik dan Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama serta hubungan istimewa sedia ada ke tahap lebih tinggi.


Pada ucapan di majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatnya Pham Minh Chinh di Hanoi malam tadi, Anwar turut menyatakan kekaguman terhadap perjuangan Vietnam dan rakyatnya untuk pulih daripada kesusahan serta kesukaran yang dialami semasa pertempuran menentang penjajah.


"Berbekalkan kecekalan dan ketabahan di peringkat kepemimpinan serta rakyat, anda berjaya mengecapi kejayaan besar dalam tempoh beberapa dekad sahaja yang sekali gus menjadikan Vietnam sebuah negara penting di ASEAN dan kini dikenali sebagai antara negara membangun paling berpotensi di dunia," katanya.


Anwar sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Vietnam bermula Khamis atas jemputan rakan sejawatnya.


Kehadirannya semalam diberikan sambutan rasmi oleh Chinh di Istana Presiden sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat bilateral di Government Office.


Hari ini Anwar dijadualkan akan menghadiri forum Perniagaan Malaysia-Vietnam sebelum ke Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Hanoi.


Anwar juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat dengan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam Vong Dinh Hue di Bangunan Dewan Rakyat, sebelum ke Book Street di Dinh Le Street di mana beliau dan rakan sejawat akan bertukar-tukar buku, sebelum menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Al Noor.


Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat dengan Presiden Vietnam Vo Van Thuong di Istana Presiden, diikuti sidang media bersama media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

No comments: