Hutang Felda: Siapa yang sebenarnya selesaikan?

 

Untuk berlaku adil, perlu diakui Muhyiddin cuba buat sebahagian, Anwar menyelesaikannya.


Isunya besar, ceritanya panjang. Lantas sukar diringkas untuk dimuat dalam ruangan yang ada. Namun saya cuba tanpa meninggalkan faktor utama, maka saya tampilkan ringkasannya begini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata beliau yang lupuskan hutang peneroka Felda. Bohong, kata Muhyididn Yassan sambil mendakwa hutang itu sudah dilupuskan pada 2021 semasa beliau jadi perdana menteri. Terjadilah dakwa-mendakwa, tuduh-menuduh, juga pengakuan demi pengakuan.

Dipendekkan cerita semalam, Anwar kemukakan bukti bahawa apa yang beliau katakan adalah benar. Bukti dalam bentuk sebahagian dokumen perjanjian Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan atau FSRA berkaitan jaminan kerajaan kepada Felda yang ditandatangani beliau pada 27 Jun. Sekali gus Anwar tuntut Muhyididn mohon maaf secara terbuka kerana menuduh beliau berbohong.

Tidak ada sebarang respon daripada Muhyiddin semasa artikel ini ditulis. Yang mengeluarkan reaksi ialah orang kuat beliau, Marzuki Mohamad yang mendakwa dokumen yang dikemukakan Anwar bukan perjanjian pelupusan hutang Felda. Beliau berkeras mendakwa Kabinet Muhyiddin telah meluluskan apa yang dipanggil Pelan Pemulihan Felda yang termasuk pelupusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 billion dengan menggunakan kaedah sukuk.

Namun seawal 9 Julai 2023 lagi Pengerusi Felda Shaberry Cheek sudah mendakwa kerajaan Muhyiddin hanya umum tetapi tidak laksana apa yang diumum. Dalam lain perkataan, pada hemat saya, cakap tak serupa bikin. Menurut pihak yang arif tentang isu Felda, kenyataan pengerusi Felda “banyak menjawab” persoalan bersabit isu ini. Bagaimanapun oleh kerana Shabery orang Umno mungkin ada yang sangsi apa yang beliau jelaskan.

Kata seorang anak peneroka, kenyataan atau ulasan Ketua Peneroka Kebangsaan Felda Sulong Jamil Mohamad Shariff adalah munasabah. Panjang lebar ulasannya tetapi antara yang paling menarik ialah menurut beliau kerajaan Muhyiddin bersetuju untuk mengeluarkan sukuk dengan jaminan kerajaan “tetapi persoalan sama ada kerajaannya telah memeterai perjanjian dengan Felda bagi pembayaran semula sukuk tidak dimaklumkan.”

Katanya lagi, “apabila kerajaan perpaduan ambil alih tampuk pemerintahan negara Anwar selaku perdana menteri telah menyemak perkara itu bersama Kementerian Kewangan.” Kita maklum Anwar juga menteri kewangan.

Jadi apa kesimpulanya? Siapa cakap bohong siapa cakap benar?

Berkata Azlan Zainal, pengarah operasi Ilham Centre yang juga anak peneroka: “Idea memang nak hapus hutang Felda tetapi ada beberapa halangan sejak zaman PH ke PN sehingga ke kerajaan perpaduan.”

Muhyiddin kata beliau “tidak cerita habis apa yang terjadi, Anwar pula tak jelaskan dari awal kronologi ke arah penghapusan. Sebenarnya proses dah bermula sejak awal PH ambil alih, kemudian PN, dan berakhir di kerajaan perpaduan. Masing-masing ada jasa dan perhatian.”

Saya ada terlihat satu posting di Facebook berbunyi: “Manifesto PH janji nak hapus hutang Felda, Muhyiddin umum, Anwar buat bagi jadi. Kira selesai la dok usah gaduh. Dua-dua pun pernah sekali duduk dalam PH. Sebagai budak Felda aku ucap terima kasih banyak. Job done. Khalas.”

Pada pandangan Azlan, sepatutnya PH sebut proses sudah bermula sejak ambil alih pemerintahan negara. Muhyiddin cuba buat tetapi patut mengakui ada halangan sehingga tertangguh. Anwar patut ucap terima kasih kepada Muhyiddin sebab ada usaha tetapi “kami ambil keputusan selesaikan” demi menunaikan janji yang tertangguh.

Untuk berlaku adil, katanya, perlu diakui Muhyiddin cuba buat sebahagian, Anwar menyelesaikannya.

Apa yang Azlan harap terjadi tidak terjadi. Sekarang pertembungan yang timbul ialah siapa sebenarnya yang hapuskan hutang Felda. Apa yang terjadi ialah masing-masing nak jadi hero – claim kejayaan, kata Azlan lalu berkata “begitulah orang politik. Sukar berjiwa besar. Sedangkan semua kepentingan rakyat.”

Bagi saya usaha lupus hutang peneroka Felda oleh orang politik adalah langkah populis untuk mendapat sokongan peneroka yang majoritinya orang Melayu dan juga bangsa Melayu keseluruhannya. Ini saya nyatakan dengan tidak mempertikai keikhlasan semua pihak terbabit.

Perlu diingat hutang Felda ada banyak dan bermacam. Bukan sekadar hutang peneroka. Ada hutang tanah, hutang tanam semula, hutang asset, juga membabitkan FGV Holdings yang ada kaitan dengan Felda dan lain-lain.

Timbul persoalan bagaimana Felda berjaya mencatat hutang berbillion ringgit? Ini soal lain meskipun besar. Kata Inggeris, it’s for another day.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



No comments: