PRN: DAP, PKR P Pinang ‘remajakan’ senarai calon, kata sumber


Dua parti utama PH itu dijangka menampilkan muka baharu dan mungkin menggugurkan ‘personaliti utama’.


Senarai calon Pakatan Harapan untuk PRN Pulau Pinang dijangka diumumkan Ahad ini.

GEORGE TOWN: Senarai akhir calon DAP bagi PRN Pulau Pinang dijangka siap Ahad ini, menurut sumber dalam parti.

Mereka berkata, tujuh wakil rakyat akan digugurkan sebagai sebahagian rancangan “pembaharuan generasi”.

“Semua ini akan dimuktamadkan pada Ahad. Belum ada apa-apa ditetapkan lagi kerana rundingan masih berterusan,” sumber beritahu FMT, tetapi enggan mengesahkan khabar angin beberapa “personaliti utama” antara tujuh individu yang akan digugurkan.

Sementara itu, PKR Pulau Pinang turut dijangka melakukan pembersihan, dengan lebih separuh calonnya mungkin merangkumi muka baharu.

“Semua tiga exco dari PKR akan ditukar. Akan ada muka baharu,” kata sumber.

Daripada 40 kerusi di Pulau Pinang, DAP akan bertanding 19 kerusi, PKR (13), Umno (6) dan Amanah (2) dalam PRN 12 Ogos nanti.

Setakat ini, Umno mengumumkan akan mempertahankan kerusi Sungai Dua dan Permatang Berangan, selain akan cuba mendapatkan DUN Penaga, Bertam, Sungai Aceh dan Teluk Bahang.

Pada PRU 2018, DAP memenangi 19 kerusi, PKR (14) dan Amanah (2). Bersatu memenangi dua kerusi atas tiket PH, manakala Umno (2) dan PAS (1).



No comments: