Sanusi tidak layak diangkat sebagai ikon Pas



Pemimpin seperti Muhammad Sanusi Md Noor tidak layak diangkat sebagai ikon kepada Pas kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.


Khalid dalam satu sesi bual bicara bertajuk, "Sanusi – Kepimpinan Berkualiti Pas?" membandingkan sikap Sanusi dengan bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang jelasnya sangat jauh berbeza.


Malah Khalid menegaskan, perangai kebudak-budakan Menteri Besar Kedah itu jika diangkat sebagai ikon boleh menjatuhkan imej dan maruah Pas.


"Kalau banding Pas dahulu dengan sekarang, memang jauhlah bezanya. Pas dahulu ikon kepimpinannya adalah Allahyarham Nik Abdul Aziz, seorang ulamak yang lemah lembut, berakhlak mulia, berilmu, menghormati rakan dan taulan, malah lawan pun dihormatinya.

"Sekarang ini Pas sudah berubah sebab ikon kepimpinannya adalah orang macam Sanusi yang dianggap hero dan panglima perang, sedangkan macam-macam dibuatnya tidak betul. Salah satu yang jelas ialah yang dia fitnah Datuk Mahfuz Omar," katanya.


Khalid menjelaskan, cara kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi aspirasi kepada semua ahli Pas kerana berjaya mempertingkatkan ilmu, memperbaiki akhlak dan membentuk gerakan yang berdisiplin di kalangan ummah.


"Orang yang seperti Nik Abdul Aziz menjadi ikon Pas yang menyebabkan saya dan rakan menyertainya, selain ulamak Allahyarham Yusof Rawa dan Allahyarham Fadzil Noor.


"Ikon kepimpinan adalah mencerminkan perjuangan parti itu. Bila kita letak Nik Abdul Aziz sebagai ikon kepimpinan, beliau menguruskan kewangan negeri dengan baik sekali walaupun ketika itu Kelantan tidak dapat banyak peruntukan daripada kerajaan persekutuan," katanya.


Untuk rekod, Muhammad Sanusi pada April lalu gagal dalam rayuan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.


Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu kemudian diperintah membayar RM120,000 susulan kenyataan yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu - dalam isu pemindahan kedai judi nombor ekor Sport Toto ke kawasan terbabit


Sementara itu ketika mengulas pendakwaan terbaharu dihadapi Muhammad Sanusi susulan kenyataan yang menyentuh institusi Diraja, Khalid menyifatkannya sebagai keterlaluan.


Jelasnya, jika seperti itulah kepimpinan yang dikatakan berkualiti dalam Pas, maka politik orang Melayu serta Islam akan rosak dan negara bakal hancur.


"Ini kerana Pas tidak mengambil kira sifat kepimpinan yang diutamakan oleh Islam sebagaimana ditunjukkan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz," jelasnya.

 

No comments: