SANUSI BERPOTENSI DIDAPATI BERSALAH, MEMBERINYA KEMENANGAN SUATU PEMBAZIRAN

 


Walaupun telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan, selain bakal disiasat pula oleh SPRM berhubung isu nadir bumi, Pas dilaporkan tetap akan meletakkan Sanusi Md Nor sebagai calon pada PRN akan datang ini.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata, Sanusi akan tetap diturunkan sebagai calon dalam PRN Kedah.

Bahkan, kata beliau, Menteri Besar sementara itu setakat ini kekal sebagai taruhan utama dalam usaha PN mempertahankan Kedah daripada dirampas pihak lawan.

“Insya-Allah, sehingga kini beliau masih calon utama. PAS akan kekalkan beliau,” katanya.

Mengikut fakta, kes mahkamah yang dihadapi Sanusi adalah amat serius kerana menyentuh hal paling sensitif dalam isu 3R iaitu memperlekeh dan mempertikaikan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu.

Yang diperlekeh dan dipertikai itu pula bukan setakat seorang Raja, tetapi dua Raja iaitu Sultan Selangor dalam hal melantik Menteri Besar dan Yang Dipertuan Agong berkaitan titah penubuhan kerajaan perpaduan.

Tidak pernah ada mana-mana pemimpin Melayu, hanya didorong oleh kepentingan politik, sanggup bersikap celupar serta biadap kepada dua Raja sebagaimana Sanusi lakukan ini.

Berdasarkan serius dan sentisifnya isu yang disentuh Sanusi, selain berdasarkan fakta dan logik akal, agak sukar sebenarnya untuk Sanusi terlepas daripada dikenakan hukuman atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Kedua-dua pertuduhan dikenakan terhadapnya ialah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam hal ini, jika Pas menunjunjung penghormatan yang tinggi kepada Raja, langkah terbaik ialah mereka tidak meletakkan Sanusi sebagai calon dalam mana-mana pilihan raya sehingga kesnya selesai.

Membenarkan lagi Sanusi bertanding hanya mengundang risiko lebih tinggi kerana jika menang dan kemudian didapati bersalah dan didenda melebihi RM2000 oleh mahkamah, kedudukannya sebagai Adun tergugur secara automatik.

Selepas tergugur kedudukan sebagai Adun, beliau sekaligus perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Pilihan selepas itu, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan semula.

Tidakkah ini suatu pembaziran namanya?

Untuk mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan wang berikutan pendirian Pas tetap juga mahu mengekalkan lagi Sanusi bertanding, kebijaksanaan kini terletak di tangan pengundi-pengundi Kedah.

Amat terpuji jika Sanusi tidak lagi diberikan undi kemenangan – sama ada dengan memberi peluang kepada parti lain pula memerintah Kedah atau mengalahkannya sebagai Adun tetapi kekal memenangkan Pas, maka rakyat negeri itu akan beroleh Menteri Besar lain yang lebih berwibawa, tidak merapu dan tidak mencemar institusi Raja seperti perlakuannya yang memalukan itu. – ShahbudinHusin 21/07/2023.



No comments: