Isu lupus hutang peneroka Felda, Muhyiddin akan saman Anwar

 

Isu lupus hutang peneroka Felda, Muhyiddin akan saman Anwar. Bekas perdana menteri itu telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap Anwar Ibrahim.



Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Anwar tidak layak kekal menjadi perdana menteri.

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin akan memfailkan saman fitnah terhadap Anwar Ibrahim berhubung dakwaan perdana menteri itu mengenai pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda yang tidak dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin berkata, dua dokumen yang dikemukakan Anwar awal hari ini bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka, sebaliknya mengenai terbitan sukuk dan kredit pusingan kepada Felda.

Dakwanya, ini mencerminkan Anwar tidak layak kekal menjadi perdana menteri.“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam, sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” kata Muhyiddin dalam kenyataan di Facebook.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang beliau tandatangan sebagai menteri kewangan,” katanya.

“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang beliau tandangan atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang beliau tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.”

Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf berikutan dakwaan perdana menteri itu bahawa hutang peneroka Felda, berjumlah RM8.3 bilion, tidak pernah dilupuskan bawah pentadbiran Muhyiddin.

Muhyiddin juga menuntut Anwar memberikan bukti bahawa beliau sebagai menteri kewangan telah menandatangani pelupusan hutang itu pada Jun.

Awal hari ini, Anwar mendedahkan dua dokumen, iaitu jaminan kerajaan yang dikeluarkan kepada Felda dan arahan pembayaran RM990 juta daripada kerajaan kepada Felda, sebagai bukti.

No comments: