SEBAGAIMANA DIJANJI, AMIRUDIN SEPATUTNYA DIKEKAL TERAJUI SELANGOR

 

Menjelang majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang dijangka Jumaat ini, tiba-tiba sejak semalam berlegar khabar angin yang mengatakan Amirudin Shari belum pasti dikekalkan bagi jawatan tersebut.

Perkhabaran itu mengatakan, antara sebab Amirudin tidak dikekalkan ialah kerana PKR dan PH yang diterajuinya gagal menyumbang jumlah kerusi yang signifikan bagi mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Selangor.

Nama yang paling disebut untuk menggantikan Amirudin adalah Dr Fahmi Ngah, Adun baru Seri Setia yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Disebut-sebut dalam banyak perbualan politik bahawa Dr Fahmi dikatakan dikehendaki oleh Anwar Ibrahim sendiri sebagai Menteri Besar.

Dalam hal ini, saya sama sekali tidak terperanjat dengan khabar angin mengenai Dr Fahmi itu.

Ini kerana, saya sudah mendengar sejak kira-kira lima bulan dulu lagi tentang nama beliau sebagai bakal Menteri Besar Selangor itu, malah saya telah bercakap dengan beberapa orang mengenainya.

Perkhabaran jtu muncul bila seorang pemimpin PKR Selangor ketika saya naik kereta dengannya untuk solat Jumaat, pada waktu itu lagi beliau sudah memberitahu saya tentang perkara tersebut.

Dr Fahmi yang merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Selangor, sebuah badan pemikir untuk kerajaan negeri serta pernah berkhidmat dengan Anwar semasa Presiden PKR itu menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selamgor, dikatakan menjadi pilihan untuk ditonjolkan kerana bakat kepimpinan yang dimilikinya.

Soalnya, wajarkah Amirudin ditukar?

Memang menamakan calon Menteri Besar adalah hak kepimpinan mana-mana parti yang berjaya memenangi kerusi majoriti dan ini tidak terkecuali untuk negeri Selangor.

Tetapi, Amirudin tiada “dosa besar” yang menyebabkannya perlu dipancung serta merta, lagi pun kegagalan memperolehi majoriti dua pertiga bukan suatu isu sangat jika dilihat bagaimana ghairahnya seluruh pimpinan utama PN datang menggempur untuk menawan negeri tersebut.

Dengan serangan yang begitu hebat, berjaya memimpin untuk PH terus kekal dan tidak tumbang di Selangor sudah boleh dikira sebagai suatu kejayaan buat Amirudin.

Kegagalan memperolehi majoriti dua pertiga tidak harus dilihat sebagai kegagalan Amirudin seorang diri, sebaliknya mesti dianggap sebagai beban yang perlu dipikul secara bersama oleh semua kepimpinan parti untuk diperbaiki dan dilonjakkan lagi prestasi dalam pilihan raya yang seterusnya.

Sejak menerajui Selangor bermula 2018, Selangor boleh dikata aman, tenang dan tiada isu-isu besar yang melanda ketika di tangan Amirudin.

Selain itu, beliau juga disenangi oleh semua lapisan rakyat, daripada singgahsana istana hinggalah rakyat biasa di kampung serta desa.

Ditambah dengan kedudukan sebagai Naib Presiden PKR, keberadaannya di negeri terpenting dan termaju seperti Selangor ini amatlah sesuai sekali.

Pun begitu, jika Anwar tetap ingin meletakkan calon baru bagi mengisi kerusi Menteri Besar Selangor, proses itu sebaiknya dilakukan sekurang-kurangnya pada satu pertiga penggal yang ada sekarang.

Menukar Menteri Besar secara mendadak hanya mencetuskan polemik dan perbalahan yang tidak perlu dalam PKR.

Maknanya, sebagaimana dijanji Anwar sendiri dalam kempen PRN baru-baru ini untuk mengekalkan Amirudin, beliau mesti terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor buat ketika ini.

Setelah setahun atau setahun setengah beliau memegang jawatan itu, bersama di ketika yang sama Dr Fahmi diberi jawatan Exco terlebih dahulu untuk beliau memahami selok-belok pentadbiran dan bercampur dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketika itu barulah proses peralihan itu nampak cantik untuk dilakukan.

Amirudin pula, sesuai dengan pengalaman dan kedudukannya sebagai Naib Presiden PKR, sewajarnya dibawa ke pusat untuk mengemudi mana-mana kementerian yang selama ini dilihat lemah dan kurang berfungsi.

Agak-agak kementerian mana yang paling sesuai untuk Amirudin? – ShahbudinHusin 16/08/2023.



No comments: