Penting pasukan pemantau media sosial elak rakyat termakan fitnah

 




Kerajaan perlu mempertimbangkan kewujudan satu pasukan khas pemantau media sosial supaya rakyat tidak 'mamai' termakan fitnah sebagaimana yang dialami pengundi di 6 negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.



Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, pasukan tersebut perlu diwujudkan bagi menjawab semula kandungan di media sosial yang diputar belit oleh pembangkang.



Katanya, isu fitnah di TikTok misalnya bukan sahaja 'dibeli' oleh rakyat di kawasan kurang membangun malah di negeri seperti Selangor pun ramai percayakan fakta songsang memburuk burukkan Kerajaan yang ditadbir Kerajaan Perpaduan.



"Perlu ada satu pasukan pemantauan atau diwujudkan task force yang khusus bagi pemantauan media sosial ini, terutamanya TikTok.



"Sebabnya banyak yang kerajaan buat tidak dinyatakan dengan jelas (dikelirukan) di media sosial



"Peranan Kerajaan (Persekutuan) juga penting. Contoh (agensi) seperti JKOM, Jabatan Penerangan, harus ada penjelasan yang jelas melalui TikTok, kena ada timbal balik (counter naratif)



"Task force di Kementerian juga untuk memantau apa sahaja perkara (mengelirukan) atau penyebaran fitnah," katanya kepada Suara Keadilan.



Beliau berkata pengaruh buruk pempengaruh di TikTok dalam PRN lalu, misalnya telah memperdaya sesetengah pengundi di Selangor menolah Pakatan Harapan (PH) - BN, sedangkan Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai dasar yang baik serta bantuan untuk memperbaiki kehidupan rakyat.



Namun, ujar Halimey, isu nasional banyak dimainkan untuk meracun pemikiran pengundi menyentuh hal hal perkauman dan agama sempit.



"Kalau dari (isu) negeri Selangor saya rasa kurang dimainkan di media sosial, tetapi mungkin dari segi federal (banyak) dimainkan, fitnah.



"Dalam hal ini, pertama kementerian kena mainkan peranan dari segi komunikasi media dan pemantauan harus dilakukan.



"Kedua, kita sendiri yang dah tahu (fitnah) maka kena buat laporan. Kadang kadang laporan tak dibuat jadi tindakan lambat diambil," katanya lagi.



PH dan BN dalam pilihanraya lalu kehilangan hampir kesemua DUN hardcore Melayu yang beralih arah kepada pembangkang PN kesan daripada propaganda songsang di media sosial.