KERAJAAN PERPADUAN DIJAMIN LEBIH KUKUH SELEPAS PRN – PM


 

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) dan BN mengekalkan kerajaan di 3 negeri bakal menghilangkan terus cita cita Perikatan Nasional (PN) untuk menarik keluar mana mana parti komponen bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang mereka yakinkan kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri kali ini.

Lebih parah lagi apabila PN gagal merampas jantung PH – BN, iaitu Selangor yang mampu membuat parti komponen Kerajaan Perpaduan berfikir panjang mengenai survival mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan di Majlis Pengumuman Keputusan PRN di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre, Kuala Lumpur sebentar tadi memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan selepas ini akan lebih kukuh kerana telah lulus ujian pilihanraya yang menjadi pelengkap PRU 15.

“Bagi pihak Kerajaan Persekutuan saya ingin beri jaminan (Kerajaan Perpaduan) akan kekal dan kukuh selepas PRN ini.

“Kita akan terus bertungkus lumus bekerja, berkhidmat, sesuai kita bangunkan Malaysia Madani dan Ekononi Madani yang kita umumkan baru baru ini

“InshaAllah mulai Isnin kita akan terus bertugas, bukan sahaja seperti biasa tetapi tekun dan keras bekerja supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya.

Justeru buat seluruh rakyat Malaysia, PM menyeru agar semuanya kembali berdamai selepas mengharungi suasana kempen yang menegangkan serta mengguris perasaan.

“Jadi setelah bertarung bersungguh sungguh, ini waktunya semua parti, menang atau kalah, kita harus bersilaturrahim mengangkat martabat negara dan membela nasib rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengucapkan penghargaan kepada rakyat yang telah menyokong Kerajaan Perpaduan di 3 negeri dalam menghalang kemaraan pembangkang secara yang lebih meluas.

“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan saya ucapkan penghargaan atas sokongan terutama dalam mengekalkan kekuatan 3 negeri.

“Ini berlaku kerana permuafakatan yang terjalin di antara semua parti dan rakan rakan dari Sabah Sarawak walau tidak bertanding tetapi memberikan dukungan cukup hebat.

“Keputusan adalah keputusan rakyat. Dalam sistem demokrasi kita harus hormat keputusan rakyat,” katanya lagi.

Keputusan rasmi PRN 6 negeri PH – BN kekal memerintah di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang manakala PN memerintah di Kedah, Kelantan dan Terengganu.


No comments: