Jabatan Penjara Malaysia menafikan fitnah jahat terhadap Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dituduh terbabit dalam
urusan tender pembekalan kain bagi jabatan itu
Melalui satu kenyataan, Jabatan Penjara menegaskan semua perolehan
perkhidmatan dan pembekalan dilaksanakan melalui Sistem e-Perolehan bagi
memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tender kerajaan.
"Tender pembekalan kain ini juga tertakluk kepada peraturan
kewangan ditetapkan dan semua syarikat dibawa ke Lembaga Perolehan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) untuk pertimbangan melepasi tiga peringkat penilaian.
"Ia membabitkan peringkat Jawatankuasa Pembuka Tender,
Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan,"
katanya dipetik.
Kenyataan itu merujuk maklumat yang tular di media sosial mendakwa
kononnya syarikat yang gagal dari segi teknikal dan kewangan, mendapat tender
pembekalan kain di Jabatan Penjara Malaysia kerana menggunakan 'kabel'
Saifuddin.
Tambah kenyataan itu, Lembaga Perolehan KDN untuk tender itu
bersidang hanya sekali sahaja iaitu pada 10 Julai lalu untuk memuktamadkan
syarikat pembekal yang berjaya.
"Oleh itu, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam urusan
tender ini," katanya.