KERAJAAN CADANG SEDIA DANA RM2 BILION BANTU NAIK GAJI RAKYAT



 Bagi menjayakan rancangan meringankan beban kos sara hidup dihadapi rakyat, kerajaan bercadang menyediakan dana tambahan bagi tujuan menaikkan gaji rakyat negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ceramah pada Jelajah Perpaduan MADANI Grand Finale Kuala Selangor di Tapak Pasar Malam, Bestari Jaya malam tadi.

Jelasnya, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri, selepas mengambil kira situasi di mana ada syarikat yang mengaut keuntungan hingga RM1 bilion ringgit, namun gaji pekerja mereka masih tidak dinaikkan.

“Jadi apa keputusan kita, kita kata macam mana pun dengan kos sara hidup dan inflasi walaupun rendah, tapi masih membebankan rakyat.

“Oleh itu kita cadang sekarang dan dah di peringkat akhir kajian, kerana kita tak boleh paksa syarikat untuk naikkan gaji pekerja, tapi boleh guna mekanisme seperti gaji minimum.

“Saya nak beritahu saudara-saudara, kita buat satu cadangan mengejutkan yang belum pernah terfikir oleh penyakau-penyakau PN (Perikatan Nasional).

Apa dia? Kita akan sediakan sejumlah wang atau RM1 bilion hingga RM2 bilion, untuk cari jalan naikkan (gaji),” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu akan membantu menaikkan gaji pekerja dari RM2,000 ke RM2,200, dari dana yang disediakan kerajaan.

Terdahulu pada Rabu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan gaji diterima rakyat Malaysia dijangka meningkat mulai tahun depan.

Bercakap dalam satu acara debat berkaitan ekonomi semalam, beliau berkata perkara itu akan diumumkan oleh Anwar dalam pembentangan Bajet 2024.

“Hala tuju penggajian rakyat sudah ada, rakyat akan mula merasai gaji lebih tinggi tahun depan apabila saudara Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan menaikkan gaji rakyat dalam belanjawan yang akan dibentangkan Oktober ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia.


No comments: