PM bertemu pelabur terkemuka, teroka peluang pelaburan





 Selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 buah negeri Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar terus bekerja bagi memulihkan semula negara.



Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan bertemu beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya pada Selasa bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama



Pertemuan itu merupakan sebahagian ikhtiar Kerajaan Perpaduan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI.



"Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.



"Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.



Perjumpaan itu disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat yang berjaya.



Antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein serta Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.



Mengulas lanjut pertemuan itu, Anwar berkata, perjumpaan yang pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi negara.

Kehadiran mereka jelasnya bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

"Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan," katanya.



Selain itu, sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka panjang selain menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan.



"Kerajaan akan berterusan menyediakan persekitaran mesra pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.



"Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi keperluan masyarakat.



"Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan yang akan memberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Malaysia dan rakyatnya," katanya