PELABURAN DI SARAWAK


 KUCHING: Sebuah syarikat terkenal berpangkalan di Arab Saudi iaitu ACWA Power kini dalam perbincangan untuk melabur di Sarawak bagi sama-sama membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidrogen. 



Namun, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah dana yang bakal dilaburkan masih belum diketahui. 


"Belum tahu (berapa pelaburan ACWA Power), mereka masih berbincang dengan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung perkara ini,"katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam sambutan jubli emas Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi. 


Abang Johari menjelaskan bahawa pelaburan yang sedang dibincangkan itu tidak sama dengan pelaburan yang telah dilakukan oleh syarikat dari Korea Selatan iaitu Samsung Engineering Co Ltd di dalam projek Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak (Projek H2biscus). 


"Pelaburan dari Arab Saudi ini berbeza. Mereka mahu melabur dalam (sektor) tenaga boleh diperbaharui, dan mereka sendiri juga mempunyai teknologi fotovoltaik suria terapung," katanya. 


Kelmarin Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan Syarikat ACWA Power bagi membincangkan perkara tersebut. 


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Petros Dr James Foo berkata Abang Johari telah berbincang dengan pihak Syarikat ACWA Power bersama beberapa agensi yang terlibat berkaitan perkara tersebut. 


“ACWA ingin melabur hidrogen ammonia hijau berpotensi di negeri Sarawak.


“Kami mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak, agensi negeri serta SEB, Petros dan SEDC. Saya berharap perbincangan berterusan akan melihat sama ada pelaburan ke Sarawak boleh dinilai,” katanya selepas kunjungan hormat, kelmarin. 


Untuk rekod, ACWA Power dahulunya adalah syarikat antarabangsa untuk projek air dan tenaga, kini berkembang kepada pemaju, pelabur, dan pengendali penjanaan kuasa, tenaga boleh diperbaharui dan loji pengeluaran air penyahgaraman


Oleh SHAHRUL QAIZAT


Gambar

Abang Johari meletakan tangan di peranti tanda simbolik perasmian majlis makan malam sambutan Jubli Emas Seberkas di Kuching malam tadi. Foto Herriey Naha



No comments: