AZMIN GANTI HAMZAH SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG BERSATU, MAHiADDIN AMBIL ALIH KETUA PEMBANGKANG DARIPADA HAMZAH?


Kewujudan dua kem dalam Bersatu – kem Mahiaddin Md Yasin dan kem Hamzah Zainuddin – bukanlah perkara rahsia lagi.


Keputusan Mahiaddin membuat Pusingan U di Perhimpunan Agung Bersatu November 2023 lalu di mana beliau tiba-tiba ingin sepenggal lagi memimpin parti itu, walaupun sebelum itu telah mengumumkan untuk berundur diri, tidak lain adalah untuk menghalang kemaraan Hamzah.


Alasan Mahiaddin bahawa beliau mengubah fikirannya kerana desakan isterinya hanyalah semata-mata untuk memperlekeh Hamzah yang sebelum itu memang diketahui ingin mengambil alih teraju kepimpinan Bersatu.


Walaupun Hamzah memberi sokongan bersama esak tangis ketika Mahiaddin mengumumkan tidak jadi berundur dan ingin memimpin Bersatu selama sepenggal lagi, hubungan mereka sebenarnya tidaklah menjadi bertambah baik.


Kecurigaan Mahiaddin terhadap Hamzah tetap ada dan tidak pernah terpadam.


Ketika Mahiaddin mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini susulan tindakan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkaferi Hanapi memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim, difahamkan berlaku sedikit ketegangan antara Presiden Bersatu itu dengan Hamzah.


Dalam perjumpaan itu, walaupun ia pada awalnya dikhususkan untuk Ahli-Ahli Parlimen, tetapi beberapa individu lain yang bukan Ahli Parlimen turut sama hadir, antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja dan juga Azmin Ali.


Susulan perjumpaan itu, Bersatu memutuskan akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya pada malam ini khusus untuk membincangkan langkah-langkah yang yang perlu diambil bagi mengelakkan lebih ramai Ahli Parlimen parti itu berpaling tadah memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan.


Sementara langkah-langkah yang bakal diambil itu hanya akan diketahui pada mesyuarat malam ini, tetapi telah tersebar luas perkhabaran bahawa Mahiaddin akan melakukan perubahan dalam Bersatu melalui mesyuarat pada malam ini nanti.


Perubahan utama yang dikatakan akan berlaku ialah Mahiaddin akan menggugurkan Hamzah sebagai Setiausaha Agung dan bakal menggantikannya dengan Azmin.


Sebagai pertukaran, Hamzah akan diberikan jawatan kurang berpengaruh iaitu sebagai Bendahari Agung Bersatu menggantikan Salleh Bajuri.


Salleh dipercayai akan diketepikan terus daripada memegang sebarang jawatan kerana selama ini pun kedudukannya seperti “ada macam tiada” saja dalam Bersatu.


Selanjutnya, setelah melakukan perubahan dengan meletakkan Hamzah kepada kedudukan yang kurang penting dalam Bersatu, perancangan seterusnya dikatakan ialah untuk meyakinkan Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang agar setuju menukar jawatan Ketua Pembangkang daripada Hamzah kepada Mahiaddin.


Yang nyata, jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, bukan saja Mahiaddin terlihat makin bernafsu dalam mencatur dan mengejar kuasa, bahkan akan meletakkan Hamzah semakin terpinggir dalam Bersatu. – ShahbudinHusin 28/01/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/28/azmin-ganti-hamzah-sebagai-setiausaha-agung-bersatu-mahiaddin-ambil-alih-ketua-pembangkang-daripada-hamzah.html



No comments: