Tiada kompromi perangi rasuah, tanpa mengira kaum - PM


 

 

Oleh: Abdullah Zaid



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasan bahawa beliau sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah penyelewangan, tanpa mengira latar kaum.



Berucap pada penutup Konvensyen Perpaduan Perak, PM yang juga Pengerusi Kerajaan Perpaduan berkata, biarpun tekadnya memerangi kleptokrasi itu dikritik oleh sesetengah pihak namun beliau menghargai pandangan yang senada dengannya terutama daripada golongan belia.



"Kalau ada anak muda yang tuntut kepimpinan yang tegas menolak rasuah dan penyelewangan saya salute.



"Kerana dalam mana-mana negara mesti terima bahawa negara itu luntur dan terhakis apabila pemuda mula mengambil sikap kompromi terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah," katanya di Konvensyen Perpaduan di Hotel Casuarina Ipoh, hari ini.



Jelasnya, usaha memerangi perbuatan kleptokrasi itu tidak tertumpu kepada mana-mana individu tetapi sebaliknya adalah budaya yang menjadi sebagai sistem yang harus diperangi.



"Padahal kleptokrasi itu adalah sistem yang membolehkan pimpinan menyakau tanpa soal, mengondol kekayaan selama puluhan tahun tanpa ada yang berani untuk menyiasat," ujarnya.



Manakala dalam isu berkaitan siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan individu ternama baru-baru ini Anwar menegaskan beliau tidak mencampuri tugas pihak berkuasa dan tiada apa apa arahan tertentu yang dikeluarkannya.



"Saya tak campur urusan satu persatu sebaliknya arahan kita menyeluruh.



"Siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram dahulu, adalah tanggungjawab badan penguatkuasaan sekiranya mereka tegas dan berani (untuk menyiasat) maka kita akan pertahankan mereka," ujarnya lagi.

 

No comments: