Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk
Seri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasan bahawa beliau sama sekali
tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah penyelewangan, tanpa mengira latar
kaum.
Berucap pada penutup Konvensyen
Perpaduan Perak, PM yang juga Pengerusi Kerajaan Perpaduan berkata,
biarpun tekadnya memerangi kleptokrasi itu dikritik oleh sesetengah pihak namun
beliau menghargai pandangan yang senada dengannya terutama daripada golongan
belia.
"Kalau ada anak muda yang
tuntut kepimpinan yang tegas menolak rasuah dan penyelewangan saya salute.
"Kerana dalam mana-mana
negara mesti terima bahawa negara itu luntur dan terhakis apabila pemuda mula
mengambil sikap kompromi terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah,"
katanya di Konvensyen Perpaduan di Hotel Casuarina Ipoh, hari ini.
Jelasnya, usaha memerangi
perbuatan kleptokrasi itu tidak tertumpu kepada mana-mana individu tetapi
sebaliknya adalah budaya yang menjadi sebagai sistem yang harus diperangi.
"Padahal kleptokrasi itu
adalah sistem yang membolehkan pimpinan menyakau tanpa soal, mengondol kekayaan
selama puluhan tahun tanpa ada yang berani untuk menyiasat," ujarnya.
Manakala dalam isu berkaitan
siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan individu
ternama baru-baru ini Anwar menegaskan beliau tidak mencampuri tugas pihak
berkuasa dan tiada apa apa arahan tertentu yang dikeluarkannya.
"Saya tak campur urusan
satu persatu sebaliknya arahan kita menyeluruh.
"Siapa sahaja yang dikesan
memunggah kekayaan secara haram dahulu, adalah tanggungjawab badan
penguatkuasaan sekiranya mereka tegas dan berani (untuk menyiasat) maka kita
akan pertahankan mereka," ujarnya lagi.