PM jangka KEB lebih baik berbanding kongres Melayu sebelumnya




Oleh: Abdullah Zaid



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac ini akan menjadi lebih baik daripada penganjuran kongres sebelumnya.



Katanya, anjuran tiga hari yang dipandu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli itu akan turut menyentuh isu ekonomi bukan bumiputera sebagai sebahagian agenda.



"Saya mahu Malaysia Madani masalah India, Cina, Iban, Kadazan adalah masalah kita dan masalah Bumiputera juga, perlu ditanggani sebagai agenda bersama," katanya menerusi ucapan penggulungan Konvensyen Perpaduan Perak di Casuarina Ipoh, hari ini.



Jelasnya, kelainan yang ada pada kongres itu juga akan menilai dan memperkenalkan beberapa program baharu melibatkan aspek masalah bukan Bumiputera.



"Kita mesti berani berdepan dengan masalah bahawa penyelesaian akan jauh lebih baik daripada kongres sebelum ini," ujarnya.



Terdahulu, Ahmad Zahid berkata KEB akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebagai usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera.



Tambahnya, kongres yang dianjurkan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan memberi tumpuan kepada 10 kluster utama, antaranya reformasi pendidikan dan mosal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan penguasaan teknologi baharu.