KPM cadang hadis 40 diperluas ke seluruh sekolah kebangsaan


 Oleh: Abdullah Zaid



Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk memperluaskan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ke semua sekolah kebangsaan pada tahun depan.



Menterinya, Fadhlina Sidek (PH-Nibong Tebal) berkata, modul penghayatan itu hanya akan diajar kepada pelajar dan guru beragama Islam dalam semua aktiviti yang dilaksanakan.



"Modul ini dibangunkan Kementerian (KPM) dan diselaraskan dengan JAKIM bagi memastikan kupasan hadis dalam modul terbabit sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.



"Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun modul itu adalah bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan ia juga tiada pertindanan dengan mata pelajaran Islam sedia ada.



"Oleh itu, KPM merancang untuk perluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan membabitkan murid beragama Islam saja mulai tahun 2024," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.



Mengulas lanjut, Fadhlina berkata model penghayatan pada ketika ini hanya dilaksanakan secara rintis melibatkan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) sahaja.



"Aktiviti ini boleh dilaksanakan sama ada di dalam atau luar bilik darjah selain pihak sekolah boleh merujuk model itu dengan memuat turun Digital Educational Learning Initiative Malaysia atau Delima bagi memastikan aktiviti penghayatan itu dapat dilaksanakan dengan baik," ujarnya lagi.



Pada 19 Ogos lalu KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan bagi memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.

 

No comments: