Nik Hasyudeen.
Mengapa sukuk UJSB yang dipegang oleh Tabung Haji nilainya bertambah setiap tahun?
Ada orang pernah tanya saya soalan ini dan saya suruh dia mengaji IAS 39 dan MFRS 9 dahulu. Jika tidak, berapa kali saya ulang pun susah nak faham sebab tak ada asas. Kalau 1, 2, 3 pun tak hafal, macamana nak mengira?
Namun, oleh kerana ada makhluk yang ada nama tetapi tak ada jasad dok sebut-sebut perkara ini, saya kena terangkan sikit agar masyarakat menjadi lebih pandai. Jika kena sentiasa belajar, terutamanya di dalam perkara agama. Jangan selesa sangat menjadi “awam”. Mengawamkan manusia dan meyakinkan mereka bahawa mereka mudah keliru tu dah macam jadi satu industri.
Berbalik kepada sukuk UJSB ni, secara ringkasnya bermula apabila aset-aset sakit Tabung Haji TH) bernilai RM 9.9 bilion dipindahkan ke UJSB dan UJSB menerbitkan 2 sukuk bernilai RM 20 bilion yang memberi pulangan dalam 4% setahun kepada TH. Sukuk ini disenaraikan di dalam sukuk yang ada komitmen jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia di bawah seksyen 14, Akta Tatacara Kewangan 1957.
Sukuk ini lulus ujian “SPPI - solely payment for principal and interest” seperti yang diperuntukkan di dalam MFRS 9. Maka, ianya direkodkan pada nilai muka sukuk dan ditambah apabila nilainya naik disebabkan keuntungan yang dikontrakkan.
Mengikut Tinjauan Fiskal 2024 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan, nilai sukuk UJSB yang ada komitmen jaminan kerajaan pada 30 Jun 2023 ialah RM 22.649 bilion berbanding dengan RM 22.403 pada 31 Disember 2022. Jumlah ini bertambah dalam 4% setiap tahun, iaitu keuntungan yang dijanjikan kepada TH.
Oleh kerana UJSB sendiri memaklumkan bahawa aset yang ia uruskan hanya ada RM 8 bilion lebih sahaja, adalah puak yang mempertikaikan samada nilai sukuk di dalam akaun TH kena ikut nilai kerajaan atau dirosotnilaikan ke angka yang lebih rendah itu.
Di sinilah pentingnya kena pergi ke sekolah yang betul dan belajar asas yang betul.
Oleh kerana sukuk UJSB itu disenaraikan di bawah komitmen jaminan kerajaan, juruaudit TH akan bertanya soalan “adakah komitmen jaminan kerajaan ada nilai atau hanya janji kosong sahaja?”.
Mari kita tengok apa yang Ketua Audit Negara (KAN) laporkan berkenaan pembayaran komitmen jaminan ini.
Di dalam laporan KAN ke atas penyata kewangan kerajaan persekutuan untuk tahun 2022, KAN melaporkan sebahagian dari perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan telah diguna untuk membayar komitmen jaminan sebanyak RM 17.086 bilion. Ini bermakna komitmen jaminan kerajaan bukannya janji kosong.
Malah termasuk di dalam jumlah bayaran di atas ialah bayaran sejumlah RM 1.530 bilion untuk 1MDB, syarikat yang dikaitkan dengan penyakauan terbesar di dunia. Kerajaan, bagi pihak kita, masih lagi membayar kos sakauan berkenaan. Banyak lagi syarikat-syarikat lain yang menerima pembayaran ini untuk melunaskan hutang masing-masing.
Jika sudah ada bukti komitmen jaminan kerajaan akan dipenuhi oleh kerajaan, tidak ada masalah bagi TH untuk mengekalkan nilai sukuk UJSB seperti yang diamalkan sekarang. Bukti sebeginilah yang diambilkira oleh juruaudit TH. 👌
Semoga penerangan ringkas ini menjelaskan perkara yang dah lama selesai tetapi masih dibangkitkan disebabkan kejahilan di dalam perakaunan.
Jika nak belajar, jangan belajar dengan makhluk yang hanya ada nama tetapi tidak ada jasad. Itu hantu 👻