Oleh: Abdullah Zaid
Kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan
sebelum ini akan ditamatkan dan diapungkan kembali sekiranya harga telah stabil
serta kembali rendah.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) berkata
peruntukan subsidi RM3.7 bilion untuk telur dan ayam selama ini hakikatnya
turut dinikmati golongan ‘maha kaya’ dan 3.7 juta warga asing.
"Melihat keadaan harga pasaran, bila harga itu kurang
daripada harga siling seperti sekarang. Dan harga ayam dan telur di Thailand
lebih rendah daripada Malaysia (tidak berlaku penyeludupan), maka tiba masanya
kita apungkan.
"Kalau benar ada kekurangan kita akan cambahkan daripada
stok, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok
ayam dan telur dan saya telah beritahu menteri untuk membeli dari Thailand
andai kata ada keperluan," katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan
Menteri (PMQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan untuk
mempertimbangkan pemberian subsidi tunai bagi bantuan lain sekiranya perlu.
"Cadangan pemberian tunai itu sedang dipertimbangkan untuk
beberapa urusan lain dan akan diumumkan kelak.
"Ia difikirkan untuk mengelak ketirisan dan manfaat kepada
warga asing," ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengumumkan
kawalan harga sementara bagi ayam dan telur tidak akan diteruskan sekiranya
keadaan telah pulih.
Langkah tersebut dilakukan selepas memastikan bekalan bahan
makanan itu mencukupi di pasaran.