'Pengapungan harga ayam, telur jika bekalan pulih, harga rendah'


 Oleh: Abdullah Zaid



Kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan sebelum ini akan ditamatkan dan diapungkan kembali sekiranya harga telah stabil serta kembali rendah.



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) berkata peruntukan subsidi RM3.7 bilion untuk telur dan ayam selama ini hakikatnya turut dinikmati golongan ‘maha kaya’ dan 3.7 juta warga asing.



"Melihat keadaan harga pasaran, bila harga itu kurang daripada harga siling seperti sekarang. Dan harga ayam dan telur di Thailand lebih rendah daripada Malaysia (tidak berlaku penyeludupan), maka tiba masanya kita apungkan.



"Kalau benar ada kekurangan kita akan cambahkan daripada stok, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok ayam dan telur dan saya telah beritahu menteri untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan," katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.



Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan pemberian subsidi tunai bagi bantuan lain sekiranya perlu.



"Cadangan pemberian tunai itu sedang dipertimbangkan untuk beberapa urusan lain dan akan diumumkan kelak.



"Ia difikirkan untuk mengelak ketirisan dan manfaat kepada warga asing," ujarnya lagi.



Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengumumkan kawalan harga sementara bagi ayam dan telur tidak akan diteruskan sekiranya keadaan telah pulih.



Langkah tersebut dilakukan selepas memastikan bekalan bahan makanan itu mencukupi di pasaran.