PMX MENGHADIRI MAJLIS TILAWAH AL QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA

 






Alhamdulillah, semalam saya dan Azizah hadir dalam Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 Tahun 1445H/2023M di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur. Saya ingin zahirkan ucapan selamat datang dan penghargaan kepada seluruh peserta dan hakim jemputan yang melibatkan wakil dari 52 negara.

Saya singgung kepentingan menguasai, mendalami dan memahami Al-Quran yang mengandungi mesej yang sarat dengan petunjuk. Tanpa kefahaman yang tuntas, ianya akan mewujudkan kelompok yang dangkal dalam ilmu sekaligus melahirkan dua sisi esktrem iaitu kelompok yang mempromosi Islamophobia dan lawannya yang melampau dalam agama.

Saya juga tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak apologetik dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan memelihara seluruh hak rakyat Malaysia dengan pelbagai latarbelakang agama serta kepercayaan.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada usaha memulia serta memartabat Al-Quran dalam majlis ini dan seterusnya mengangkat kedudukan umat.

#MalaysiaMADANI