Alhamdulillah, semalam saya dan Azizah hadir dalam Majlis
Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 Tahun 1445H/2023M
di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur. Saya ingin zahirkan ucapan
selamat datang dan penghargaan kepada seluruh peserta dan hakim jemputan yang
melibatkan wakil dari 52 negara.
Saya singgung kepentingan menguasai, mendalami dan memahami
Al-Quran yang mengandungi mesej yang sarat dengan petunjuk. Tanpa kefahaman
yang tuntas, ianya akan mewujudkan kelompok yang dangkal dalam ilmu sekaligus
melahirkan dua sisi esktrem iaitu kelompok yang mempromosi Islamophobia dan
lawannya yang melampau dalam agama.
Saya juga tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak apologetik
dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub
dalam Perlembagaan dan memelihara seluruh hak rakyat Malaysia dengan pelbagai
latarbelakang agama serta kepercayaan.
Semoga kita semua mendapat manfaat daripada usaha memulia serta
memartabat Al-Quran dalam majlis ini dan seterusnya mengangkat kedudukan umat.