Menangi hati rakyat tumpaskan Gelombang Hijau - Syed Ibrahim


 

Gelombang Hijau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu meskipun tidak begitu kuat kesannya di Selatan Semenanjung namun kemaraannya perlu ditumpaskan.


Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, sepanjang pengalamannya berkempen dalam PRN di Selangor, Gelombang Hijau bukanlah suatu kempen politik yang bermaruah.


Katanya, gelombang itu terbina di atas platform kutuk mengutuk dan fitnah. Pada jangka panjang, ujar beliau, arus politik seperti itu akan hilang momentum apabila rakyat sedar akan kebenaran.


"Setakat ini cara bermaruah ini (amalan Pakatan Harapan) tidak menjadi dan seolah olah kita tewas dengan cara begitu. Tetapi ini jangka pendek. Saya rasa bagi masa lagi dengan program kita buat, dengan dasar kita, ia (gelombang) akan mengendur.


"Ada orang kata dah jadi kerajaan 8 bulan, kita (PRN) patut lebih baik daripada sebelum ini (pilihan raya umum) keputusannya. Tetapi saya rasa masih tidak mencukupi, maksudnya kalau kita buat PRU sekali gus dengan negeri negeri, kita akan tewas lebih teruk.


"Tetapi disebabkan PRN dibuat kemudian sikit daripada PRU, kesan itu tidak seburuk bersekali dengan PRU.


"Jadi dengan adanya tempoh yang lebih panjang (selepas ini) kita kena lakukan usaha berterusan supaya kempen bermaruah diterima pengundi. Kita kena cerita rasional dasar, pelan, perlaksanaan, prestasi


"Strategi dengan orang muda, penerangan dan komunikasi ini sampai bila bila ada isu. Buat perancangan, laksanakanlah kepada kumpulan sasar yang kita tahu dan pengundi atas pagar," katanya kepada Suara Keadilan.


Di samping itu, Syed Ibrahim turut kecewa dengan pemikiran sesetengah pengundi Melayu yang simplistik serta suka kepada kempen 'kutuk, fitnah, hentam' berbanding membincangkan manifesto dan kebaikan yang diperolehi rakyat sepanjang pemerintahan PH.


Namun katanya, PH mempunyai pilihan untuk melakukan kempen yang sama. Bagaimanapun beliau berpuas hati apabila PH memilih politik nilai berbanding kempen yang merosakkan.


Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram di Johor pula, Syed Ibrahim berkata, Gelombang Hijau tidak begitu kuat melanda negeri itu sebagaimana di Selangor.


"Namun tempias itu ada, tetapi mungkin tak sampai ke Pulai, Simpang Jeram mungkin. Cuma kalau kita lihat peratus pengundi bukan Melayu tinggi di Simpang Jeram di bawah parlimen Bakri. Jadi taklah terlampau kritikal," katanya.


Walau apa pun, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu tidak mahu jentera KEADILAN atau PH berasa selesa kerana gerakan Pas biasanya tidak menonjol dan bergerak secara subversif.


"Cuma jangan ambil mudah. Pesanan saya memang (orang kita) kena pergi masjid, surau, jumpa rakyat. Kalau dah buat sebelum ini oklah, kalau tidak, kena buat," katanya lagi.