Hari Kebangsaan bukan sambutan politik, hentikan sikap konfrantasi - AMK


 Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar tidak menambah perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan logo dan tema yang berbeza pada sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.



Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menolak sikap berkonfrantasi yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari semalam yang mahu 4 negeri ditadbir PN menggunakan logo dan tema yang berbeza.



"Langkah Pemuda PN yang melancarkan logo dan tema yang berlainan daripada yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunjukkan sikap kurang patriotik PN, malah bertentangan dengan matlamat sambutan Hari Kemerdekaan yang bersandarkan semangat federalisme.



"Tambahan pula, penggunaan warna tema PN terhadap logo tersebut juga menzahirkan sikap berpuak-puak Perikatan Nasional secara melampau yang mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan negara," kata kenyataan itu.



PN diharap tidak mengamalkan semangat yang bertentangan dengan kerajaan pusat dan sentiasa mewujudkan hubungan baik antara negeri dan Persekutuan bagi melancarkan pembangunan demi rakyat di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.



"PN digesa menghentikan konfrontasi yang berpanjangan antara negeri-negeri yang ditadbirnya dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak terus menyimbah minyak ke api yang marak tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan tangan untuk memaut semula tali silaturrahim dengan semua pihak pasca pilihan raya negeri.



"Alangkah rugi sekiranya niat baik Perdana Menteri ini tidak disambut oleh Perikatan Nasional jika mereka memilih untuk terus berkonfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menafikan semangat federalisme sehingga menggadai kepentingan rakyat," kata kenyataan itu lagi.



Tahun ini Kerajaan Perpaduan menggunakan tema sambutan Hari Kebangsaan "Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" sebagai cogankata sambutan peringkat kebangsaan, negeri dan wilayah.

 

No comments: