Label 2 Adun pembangkang anti-Islam, MB Kelantan diberi 7 hari mohon maaf
Dua Adun pembangkang Kelantan mengugut akan menyaman Nassuruddin Daud, jika beliau tidak memohon maaf.
Syahbudin Hashim dan Hafidzah
Mustakim berkata, menteri besar Kelantan perlu mengelak membuat kenyataan
angkuh sedemikian kelak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Menteri
Besar Kelantan, Nassuruddin Daud diberi tujuh hari untuk memohon maaf secara
terbuka atas kenyataannya melabelkan dua Adun Barisan Nasional dan Pakatan
Harapan anti-Islam.
Syahbudin Hashim (Adun
Galas daripada BN) dan Dr Hafidzah Mustakim (Adun Kota Lama daripada PH)
menyifatkan kuliah Jumaat Nassuruddin melampau serta ekstrem.
“Kegagalan membuat
permohonan maaf secara terbuka ini mengundang susulan tindakan undang-undang,
yakni kami akan memfailkan saman sivil di mahkamah,” kata Syahbudin dalam
sidang media di Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkata,
kenyataan Nassuruddin yang bernada sinikal dan angkuh itu wajar dihindari
kelak.
“Sebagai MB, sewajarnya
beliau mengambil perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan, berbanding tuduhan
melulu serta menyemai benih-benih keliru.
“Saya mohon menteri
agama, mufti serta alim ulama turut memberikan pandangan berkaitan kenyataan MB
Kelantan.”
Syahbudin berkata,
Nassuruddin membuat kenyataan sedemikian mengenai PH dan BN kerana tidak dapat
“move on” selepas gagal memenangi semua kerusi DUN Kelantan.
Semalam, Nassuruddin
dalam kuliah Jumaatnya berkata, Hafidzah daripada Amanah dan Syahbudin daripada
Umno “menentang perjuangan Islam”.
Jurucakap Biro Undang-undang Amanah Kelantan, Hisham Fauzi dilaporkan berkata, PAS tidak mempunyai hak eksklusif terhadap perjuangan Islam.
Katanya, PAS
“seolah-olah lupa” ia hanya mempunyai dua kerusi di DUN Kelantan pada 1978 dan
tidak sepatutnya merendah-rendahkan wakil rakyat pembangkang “semata-mata
kerana pendekatan Islam yang dibawa (mereka) tidak sama dengan pendekatan Islam
PAS”.
Beliau berkata, PAS
berpegang kepada “konsep klasik” pengkelasan orang bukan Islam kafir harbi
(boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan
Islam), yang tidak lagi praktikal pada zaman ini.
“Kami di Amanah pula
melihat konsep ini perlu dinilai semula dan difahami mengikut perkembangan
semasa, bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat
global, (seperti ) ditegaskan Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa pada
Oktober 2019.”