Pelaksanaan Ekonomi Madani tahun ini tidak libat tambahan perbelanjaan




 Pelaksanaan Ekonomi Madani tidak akan melibatkan sebarang penambahan perbelanjaan kerajaan bagi tahun ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.



Bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa, Rafizi menjelaskan kerajaan akan berbelanja mengikut peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen serta berdasarkan perbelanjaan yang ditetapkan dalam belanjawan 2023.



"Kita perlu berbelanja mengikut (peruntukan) yang diluluskan oleh Parlimen, kita tidak boleh pandai-pandai berbelanja, ada beberapa cara (yang boleh digunakan)," katanya dipetik.



Tambahnya bagi pelaksanaan tersebut, kerajaan boleh menyusun semula keutamaan dari segi belanjawan yang telah diluluskan untuk projek atau kementerian tertentu.



"Kita boleh subwaran untuk dibelanjakan, kita boleh beri keutamaan serta alih dan susun balik. Jadi, kerajaan boleh berbelanja lebih dalam bidang yang dirasakan cukup penting untuk merealisasikan Ekonomi Madani tanpa kita melepasi had belanjawan yang ditetapkan," tambahnya.

Pada 5 April 2023, Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) untuk perbelanjaan berjumlah RM388.10 bilion, iaitu RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas mengumumkan Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia.



Inisiatif itu dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.



Sementara itu Rafizi menjelaskan, kerajaan optimistik bahawa sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada lima peratus mampu dicapai.



Kerajaan menyasarkan defisit fiskal 2023 dikurangkan kepada 5.0 peratus berbanding dengan 5.6 peratus tahun lepas di samping bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

 

No comments: