HOI SANUSI…ANWAR NAK JAWATAN PERDANA MENTERI, APA KELAS JADI ‘BROKER’?



Di sebalik Anwar Ibrahim sudah menegaskan tuduhan Menteri Besar Kedah terhadapnya adalah merapu, bahkan cabaran Saifuddin Nasution Ismail agar Sanusi Md Nor mengemukakan bukti juga belum bersambut sehingga ini, kalau difikir secara logik pula, lagi tak masuk buku apa yang dipertuduhkan kepada Perdana Menteri itu.


Mengikut apa yang dituduh Sanusi, Anwar telah datang ke Kedah bersama kawannya daripada Indonesia, Riza Chalid untuk memohon lesen melombong unsur nadir bumi atau REE di negeri tersebut.


Dalam erti kata lain, tuduhan itu bermaksud sementara pelbagai serangan kepadanya berkaitan REE, terutama hubungannya dengan seorang rakyat China yang kini menjadi kontroversi, Anwar juga sebenarnya pernah mencari peluang yang sama.


Kata Sanusi lagi, sebab itulah pelbagai serangan ditujukan terhadapnya oleh Saifuddin Nasution.


Dalam bahas mudah, jika mengikut apa yang dituduh oleh Sanusi itu, Anwar adalah lebih kurang seorang “broker” yang mungkin akan beroleh sejumlah komisyen daripada kerja yang dilakukannya itu.


Hoi Sanusi, sejak bila Anwar pernah dan berminat jadi “broker”?


Di ketika PH berkuasa di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, atas kedudukannya selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR, pernahkah kita dengar Anwar jadi “broker” membawa mana-mana ahli perniagaan ke negeri-negeri sembilan?


Kalau di negeri yang PH berkuasa dan kehendaknya lebih mudah dipenuhi pun kita tidak pernah dengar Anwar menjadi “broker”, di mana munasabah beliau mahu berbuat demikian di negeri di mana parti yang berkuasa dan Menteri Besarnya begitu amat membenci dirinya?


Agak-agaklah Sanusi oiii kalau ia pun nak bikin gebang dan buka temberang?


Sekali lagi, hoi Sanusi….cita-cita Anwar ialah untuk jadi Perdana Menteri, bukan nak kumpul kekayaan dengan jadi “broker”.


Apa kelas bakal Perdana Menteri pada ketika itu nak jadi “broker”?


Mengikut apa yang tular di media sosial hari ini, kunjungan Anwar bersama Riza Chalid ke Kedah sebenarnya berlangsung pada 2 Oktober 2022 iaitu lebih kurang sebulan lebih sikit sebelum pengundian PRU15 iaitu pada 19 November 2022.


Beliau ke Kedah bersama Riza Chalid adalah semata-mat untuk tujuan mengadap Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar.


Seperti mana kata Saifuddin dalam ceramahnya semalam, Riza Chalid hanya menemani Anwar dan selepas mengadap Sultan Kedah, mereka terus balik dan tiada apa-apa urusan lain lagi selepas itu.


Lagi pun, ada ke logik Anwar dan Riza Chalid mengadap Sultan Kedah untuk bercerita soal perniagaan dan memohon lesen melombong REE dengan baginda?


Lebih tidak logik lagi, pada Oktober 2022 itu juga, bahang PRU15 sedang membahang dan ketika itu, rata-rata rakyat meletakkan harapan yang menggunung kepada PH dan Presiden PKR itu untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada dua era Perdana Menteri sebelumnya yang dilihat tidak bermaya.


Jadi, dengan tumpuannya ialah untuk menjadi Perdana Menteri, masuk akalkah Anwar masih ada masa untuk jadi “broker” pada ketika itu?


Hoi Sanusi…hoi ya hoi betullah hang ni….(ShahbudinHusin 03/08/2023)


https://shahbudindotcom.net/