DARIPADA INTERPOL BAWA BALIK, LEBIH BAIK MAHIADDIN SENDIRI BANTU MENANTUNYA SERAH DIRI


Sudah tiga hari berlalu sejak 7 Ogos lalu bila mana SPRM membuat pengumuman media, nampaknya sehingga kini masih belum ada khabar berita lagi tentang menantu Mahaddin Md Yasin yang dipercayai menghilangkan diri itu


Muhammad Adlan Berhan, yang berkahwin dengan anak Mahiaddin bernama Nabilah dan seorang peguam, Mansoor Saat kini dikehendaki SPRM untuk membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.


Kedua-dua mereka dipercayai telah berada di luar negara sejak Mei lalu dan tiada rekod kembali ke tanahair sehingga ini.


Adlan sebelum ini sudah disiasat SPRM, tetapi kemudian memohon kebenaran untuk ke luar negara bagi sesuatu urusan tertentu.


Namun, memandangkan sudah meninggalkan negara pada Mei lalu dan terus tidak kembali sejak itu, Adlan bukan saja dilihat ingkar janjinya terhadap SPRM, malah semacam ada kecenderungan memang ingin melarikan diri.


Jika tidak, urusan apa dilakukannya di luar negara begitu lama sejak Mei hingga sekarang?


Dan kenapa sejak 7 Ogos apabila SPRM menghendakinya, beliau masih tidak menghubungi agensi penguatkuasa itu?


Lebih parah lagi, Mahiaddin selaku bapa mertua pula hanya menjawab “no komen” bila ditanya wartawan tentang menantunya itu.


Dalam laporan terbaru, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, kedua-duanya dikehendaki bagi proses pendakwaan di mahkamah.


Berikutan tiada khabar berita mengenai kedua-dua mereka itu, khususnya menantu Mahiaddin, SPRM dilaporkan mungkin meminta bantuan Interpol untuk mengesan, menangkap dan membawa mereka balik ke Malaysia.


Dalam hal ini, sebagai bekas Perdana Menteri dan pemimpin blok pembangkang yang partinya sedang berdepan PRN di enam negeri, apakah yang paling patut dan paling wajar Mahiaddin lakukan?


Menjawab “no komen” ketika ditanya wartawan semalam adalah jawapan paling tidak patut dan paling tidak bertanggungjawab oleh Pengerusi PN itu.


Mahiaddin mesti menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab, bukan saja memberi maklumat kepada SPRM di mana menantunya berada ketika ini, malah sebagai bekas Perdana Menteri yang khabarnya ghairah kembali mahu berkuasa dan kalau dengar beliau berucap seolah-olah dirinya begitu suci, sampai sanggup melabelkan Perdana Menteri sebagai bodoh, tiada pilihan lain harus dilakukannya melainkan mengarahkan menantunya itu segera menyerah diri.


Macam mana rakyat nak sokong perjuangan PN kalau Mahiadddin sendiri gagal menunjukkan teladan kepada rakyat bahawa beliau dan ahli keluarganya sendiri tiada masalah dalam mematuhi undang-undang?


Nanti kalau sampai Interpol yang dapat menangkap dan membawa balik menantunya itu, bukankah lagi malu beliau dibuatnya?


Negara kita ada undang-undang dan ada mahkamah untuk menegakkan keadilan, kalau yakin tidak bersalah, mengapa perlu melarikan diri?


Mahiaddin pula, kalau beliau turut yakin menantunya itu tidak bersalah, apa yang beliau susah sangat untuk meminta atau mengarahkan menantunya itu segera balik ke Malaysia? – ShahbudinHusin 09/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/




No comments: