KEMPEN PRN AGAK SURAM, HANYA KEDAH TERASA BAHANG

 





Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri masih belum kelihatan rancak meskipun telah seminggu berlangsung sejak penamaan calon pada 29 Julai lalu.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, hanya Kedah yang menunjukkan panasnya kempen kerana terdapat usaha bersungguh sungguh Kerajaan Perpaduan untuk menyingkirkan PN sebagai Kerajaan Negeri.

Di negeri lain, katanya, suasana agak hambar dan kurang menarik.

“Seminggu kempen ini, sebenarnya secara purata kempen di 6 negeri boleh dikatakan agak suram berbanding Pilihan Raya Umum ke 15. Dari segi perang bendera, pengisian kempen fizikal, tidak semeriah PRU ke 15

“Tetapi bagi negeri Kedah, mungkin terasa sedikit bahang kehangatan pilihanraya berbanding 4 negeri lain yang saya sampai.

“Di Kedah mungkin isu MB Sanusi itu menyebabkan jentera Pas juga PH – BN lebih bersemangat memenangi hati pengundi

“Tetapi yang lain lain, tidak banyak perubahan. Agak suram dari segi kempen pilihanraya,” katanya kepada Suara Keadilan.

Bagi negeri di Pantai Timur pula, katanya, keadaan masih menunjukkan dominasi Pas yang kelihatan agak selesa.

Jelas Hisomuddin, BN yang mengetuai misi merampas Kelantan misalnya, masih mencari cari rentak kempen yang boleh menggugat Pas-PN.

Dalam pada itu berdasarkan kajian, Hisomuddin berkata, sebahagian besar pengundi telah pun mempunyai pilihan atau pendirian, dan sebahagian kecil yang boleh diubah oleh jurukempen atau tawaran manifesto dalam waktu berbaki seminggu ini.

“Saya boleh katakan buat masa ini pengundi sebahagian besarnya telah mempunyai kecenderungan. Tetapi ada sebahagian di saat akhir masih menunggu tawaran dan prestasi calon yang bertanding untuk mereka memilih

“Mungkin berbaki seminggu lagi, tetapi kalau macam ini kempennya, saya tidak menjangkakan suatu elemen besar akan berlaku dalam minggu akan datang. Tetapi kita tunggu dan lihat apakah ada elemen yang boleh mengubah pola itu,” katanya lagi.

PRN pada kali ini dilihat penganalisis politik amat menarik dan panas kerana percubaan PN untuk menguasai Selangor dan Negeri Sembilan menggunakan isu Melayu – Islam terancam.

Bagaimanapun selepas seminggu berkempen tidak kelihatan isu berkenaan ‘panas’ di negeri Pantai Barat.



No comments: