Pertahan Aminuddin sebagai Menteri Besar di Negeri Sembilan - Anwar


 Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di Negeri Sembilan mempertahankan kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB).



Anwar pada ucapan di program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di Dataran Kampung Pachitan malam tadi berkata, ia bagi mempermudah dan melancarkan kerjasama antara gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini.



Selain itu jelasnya, langkah tersebut juga adalah bagi meneruskan perancangan dan memastikan kelangsungan kerja yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Aminuddin sebelum ini.



"Inilah politik sekarang, saya mahu huraikan, pertahankan Aminuddin sebagai Menteri Besar. Ini memudahkan lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya.



Dalam pada itu, Anwar turut berkata penduduk Port Dickson begitu berjasa kepada beliau dan kawasan Parlimen itu amat ‘istimewa’ buat dirinya.



"Orang Port Dickson berjasa pada saya, bukan saya mahu lari dari Port Dickson ini ke kawasan Tambun tetapi di situ (Tambun) adalah kawasan musuh. Port Dickson sudah kuat dan calon baik, saudara Aminuddin saya serahkan (Port Dickson).



"Saudara, kawan-kawan kena tahu ini, ini ujian pertama boleh bertanding jadi, saya tidak boleh lupa Port Dickson.



"Kawasan Parlimen yang istimewa bagi saya tentunya Permatang Pauh, kedua Port Dickson dan ketiga Tambun kerana saya wakil Tambun sekarang," katanya lagi.

 

No comments: