Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di Negeri Sembilan mempertahankan kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB).
Anwar pada ucapan di program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri
(DUN) Chuah di Dataran Kampung Pachitan malam tadi berkata, ia bagi mempermudah
dan melancarkan kerjasama antara gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan
di negeri ini.
Selain itu jelasnya, langkah tersebut juga adalah bagi meneruskan
perancangan dan memastikan kelangsungan kerja yang telah dilaksanakan Kerajaan
Negeri yang dipimpin oleh Aminuddin sebelum ini.
"Inilah politik sekarang, saya mahu huraikan, pertahankan
Aminuddin sebagai Menteri Besar. Ini memudahkan lagi untuk menyelesaikan
masalah rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut berkata penduduk Port Dickson begitu
berjasa kepada beliau dan kawasan Parlimen itu amat ‘istimewa’ buat dirinya.
"Orang Port Dickson berjasa pada saya, bukan saya mahu lari
dari Port Dickson ini ke kawasan Tambun tetapi di situ (Tambun) adalah kawasan
musuh. Port Dickson sudah kuat dan calon baik, saudara Aminuddin saya serahkan
(Port Dickson).
"Saudara, kawan-kawan kena tahu ini, ini ujian pertama boleh
bertanding jadi, saya tidak boleh lupa Port Dickson.
"Kawasan Parlimen yang istimewa bagi saya tentunya Permatang
Pauh, kedua Port Dickson dan ketiga Tambun kerana saya wakil Tambun
sekarang," katanya lagi.