SEKIRANYA
keputusan
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menjadi ukuran, pilihan
raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau
Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini akan menyaksikan
sekurang-kurangnya terdapat 43 kerusi majoriti tipis atau kerusi marginal bawah
1,000 undi yang berpotensi dimenangi oleh mana-mana parti bertanding.
Bagaimanapun, fenomena Parlimen tergantung dan
penjajaran semula politik susulan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional
(PH-BN) selepas PRU15, November lalu, kerusi marginal bagi PH-BN dan lawannya,
Perikatan Nasional (PN) pada PRN kini tertumpu di 20 kerusi DUN sahaja.
Angka tersebut diperoleh berdasarkan pecahan undi yang diterima oleh calon
Parlimen mengikut kawasan DUN pada PRU15. Di Malaysia, setiap kawasan Parlimen
biasanya mempunyai beberapa kawasan DUN.
Statistik umur pengundi bagi PRN enam negeri.
Penganalisis menjangka pertambahan jumlah pengundi baharu akan memberi impak
kepada kerusi marginal.
Selepas
undi PN dan PH-BN dibandingkan berpandukan data daripada Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR), sebanyak 20 kerusi menunjukkan perbezaan tipis undi iaitu empat DUN
di Pulau Pinang meliputi Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Permatang
Pasir; lima DUN di Kedah (Kuah, Pedu, Kubang Rotan, Gurun dan Lunas) dan dua
DUN di Terengganu (Hulu Besut dan Telemung).
Bagi tiga
lagi negeri, di Selangor terdapat tujuh DUN dikenal pasti iaitu Morib, Selat
Klang, Kuang, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar,
manakala di Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai satu DUN
marginal iaitu Kemuning dan Bagan Pinang.
Sinar
Premium menggunakan indikator kurang 3,000 undi sebagai majoriti tipis di
Selangor, manakala lima negeri lain kurang 2,000 undi.
Pengarah
Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, julat majoriti undi tipis
bagi mengunjurkan kerusi marginal PRN enam negeri tidak boleh terikat dengan
definisi bawah 1,000 undi, memandangkan terdapat penambahan pemilih baharu yang
ketara pasca PRU15.
Disyorkan artikel berkaitan ini:
Sebagai
contoh, beliau mengatakan di Selangor, jumlah penambahan pemilih baharu
meningkat sebanyak 69,209 orang, manakala penambahan bagi lima negeri lain
adalah antara 7,000 hingga 13,000 pengundi baharu.
“Selain
itu, pembentukan konfigurasi politik baharu pasca PRU15 menyebabkan penentuan
status kerusi marginal bergantung kepada sejauh mana kadar peratusan keluar
mengundi dicatatkan pada PRN kali ini di samping kadar kebolehpindahan undi
(transferable vote) antara penyokong PH-BN.
“Atas kertas,
pengiraan kerusi marginal yang telah digariskan adalah berdasarkan senario
kejayaan PH-BN memastikan proses transferable vote antara kedua-dua penyokong
parti berkenaan berlaku 100 peratus selain peratusan keluar mengundi sama
seperti PRU15 iaitu 74 peratus.
“Namun,
senario itu berpotensi berubah dengan kerusi-kerusi marginal ini mungkin
menjadi kerusi deposit tetap parti-parti tertentu, jika faktor transferable
vote tidak capai 100 peratus, sebaliknya berlaku swing vote pengundi PH-BN
kepada PN,” katanya kepada Sinar Premium.
Sejumlah 21 kerusi marginal terkini dikenal
pasti Sinar Premium menjelang PRN enam negeri, 12 Ogos ini.
14 kerusi
bakal milik PH-BN
Berdasarkan
unjuran Sinar Premium, daripada 20 kerusi marginal itu, gabungan PH-BN dijangka
mempunyai kelebihan untuk memenangi 14 kerusi, manakala PN berpotensi menguasai
enam kerusi lagi.
Kerusi-kerusi
marginal yang kemungkinan besar dimenangi PH-BN adalah DUN Bagan Pinang, Kuang,
Sungai Burong, Sungai Panjang, Sungai Air Tawar, Hulu Besut, Telemung dan
Sungai Dua yang ditandingi calon BN.Selain itu, kerusi DUN Sabak, Lunas, Gurun,
Kubang Rotan, Kuah dan Permatang Pasir juga diunjurkan mampu direbut koalisi
PH-BN menerusi calon PH.
Bagi enam
kerusi marginal dijangka dikuasai PN ialah DUN Morib dan Selat Klang (Bersatu);
serta Kemuning, Pedu, Permatang Berangan dan Penaga (Pas).
“Majoriti kerusi marginal dikenal pasti pada PRN ini sememangnya
merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu di mana kawasan berkenaan dianggap
medan tempur paling getir bagi parti-parti politik bertanding.
“Ini
disebabkan gelombang hijau peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN telah
berlangsung pada PRU15 dan PRN kali ini menjadi medan ujian sama ada kewujudan
pakatan politik baharu PH-BN mampu membendung penguasaan PN dalam segmen
pengundi Melayu atau sebaliknya.
“Secara
rambang, kesemua kerusi majoriti lebih 50 peratus pengundi Melayu boleh
dianggap sebagai kerusi marginal dengan Selangor mencatatkan jumlah kerusi
marginal tertinggi iaitu sebanyak 39 DUN,” jelas Pensyarah Jabatan Sains
Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr
Marzuki Mohamad.